Saturday, June 11, 2011

SIAPAKAH AHLUS-SUNNAH WAL JAMA'AH?

CIRI-CIRI AHLUS-SUNNAH WAL JAMAAH ? 
susunan : Tok Kelana 


1.0 Siapakah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah? 

Seluruh Ummat Islam sudah tahu istilah Ahlus Sunnah Wal Jamaah? Semua berharap dan mengaku mereka Ahlus Sunnah. Tetapi siapakah sebenarnya Ahlus Sunnah Wal Jamaah? Adakah ianya merupakan Jamaah tertentu atau kumpulan tertentu? Apakah ciri2 mereka? 



Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah satu-satunya golongan yang mendapat jaminan dari junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagai golongan yang selamat! 

Mereka adalah yang berpegang kepada Nabi dan Sunnah Khalifah Baginda serta bersatu didalam Jamaah Muslimin. Sementara golongan2 lain telah tersesat dan terkeluar dari Jamaah Muslimin/Jamaah Rasulullah ini - iaitu mereka terkeluar dari Jamaah yang di wariskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم . 

Dari Abu Hurairah Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, 

"Bangsa Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan, kaum Nasrani telah terpecah menjadi 72 golongan, dan Ummatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali satu". Kemudian para sahabat bertanya, "Siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Mereka yang mengikutiku dan sahabat-sahabatku." (Hakim, Ibnu Majah) 



Didalam hadis lain, 

Daripada 'Irbad bin Sariyah katanya, bahawa pada suatu hari selepas sembahyang pagi (iaitu lepas subuh) Nabi Salla Allahu 'Alaihi WaSallam menyampaikan pengajaran yang cukup maksudnya, maka dari itu keluarlah air mata orang ramai, dan hati mereka pun menjadi takut, maka (dalam hal itu) berkatalah seorang lelaki "Sesungguhnya nasihat itu adalah seperti nasihat mengucap selamat tinggal, apakah yang tuan hamba ingin mewasiatkan kepada kami wahai Rasulullah?" Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: 


"Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun ia seorang hamba abdi bangsa Habsyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian); maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup (bila sampai masanya) ia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, dan bendaklah kamu berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya itu adalah kesesatan; maka sesiapa di kalangan kamu yang mendapat perkara demikian itu hendaklah ia mengikuti Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' ar-Rasyidin yang mendapat hidayat daripada Allah, dan hendaklah kamu berpegang kepada Sunnah itu dengan gigi geraham kamu". (Riwayat Tirmizi - Hadith hasan sahih) 


Berdasarkan pemerhatian Ulama Billah Nabi telah memberikan beberapa petunjuk yang jelas didalam hadis2 yang diatas, berkenaan ciri2 umum golongan yang selamat di antaranya : 

Kunci pertama : Mereka yang mengikuti Sunnahku

Kunci kedua : Mereka yang mengikuti Sunnah sahabatku.

Kunci ketiga : Tinggalkan bid'ah

Kunci Keempat; Golongan atau Jamaah
 


Sunnah Nabi sebahagian besarnya sudah pun jelas, dan semua golongan mengakui kebenarannya. Salah satu perkara yang menjadi pokok perselisihan adalah berkenaan wasiat Nabi, "Sunnah Khalifah ku" Di sinilah bermulanya perpecahan. Hanya orang2 yang terbuka hati melihat siapa yang sebenarnya yang dimaksudkan Nabi dengan "Sunnah Sanabatku." 

Siapa Sahabat Nabi? 

Sementata kebanyakan orang melihat makna "sahabat Nabi" dalam ertikata umum, ahli Ma'rifat pula melihatnya mereka yang di maksudkan oleh Nabi itu adalah Ulama Pewaris Nabi yang menerima Ilmu Sahabat nabi secara mushafahah dari satu generasi kepada generasi berikutunya tak putus sehingga akhir zaman ini. 

Untuk mendapat penjelasan lanjut sila rujuk ... 


http://sejuta-muslim.blogspot.com/search/label/A1-%20ULAMA%20PEWARIS%20NABI%20SEBENAR 


Makna Bid'ah yang sebenar: 

Apa yang dimaksudkan dengan bid'ah (mengadakan perkara baru) didalam agama yang tersebut didalam hadis diatas adalah isyarat Nabi kepada golongan2 yang memisahkan diri Jamaah kaum Muslimin dan membuat bid'ah fahaman sendiri yang sesat. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain. Golongan yang pertama sekali memisahkan diri Jamaah kaum muslimin adalah kaum khwarij, kemudian di ikuti oleh kaum Jabariyah. Kemudian timbul Mu'tazilah, Mujassimah, Rafidah dll berjumlah semuanya 72 golongan yang memisahkan diri dari kaum Muslimin, iaitu Ahlus-Sunnah Wal Jamaah. Inilah golongan2 bid'ah iaitu golongan mengadakan fahaman2 yang menyimpang dari Fahaman Ahlus Sunnah. 

Bukanlah maksud "bid'ah" tersebut sebagaimana kupasan sesat kaum wahabiyah zaman ini mengatakan Tawassul, ziarah kubur dsb sebagai bid'ah sedangkan semua amalan tersebut adalah bersandarkan Hadis Nabi. 



Apa makna Jamaah ? 

Sementara itu yang dimaksudkan dengan "Jamaah" bukanlah bermakna satu-satu jamaah tertentu, tetapi ianya umum Jamaah Muslimin yang berpegang kepada ciri2 Ummat yang disebutkan oleh Ulama2 Mu'tabar dahulu. 



2.0 Bagaimana mengenali golongan yang selamat ini? 


Bagaimana mengenali Ahlus Sunnah Wal Jamaah? Apakah ciri2 mereka? 


Dizaman ini banyak pihak mendabik dada merekalah Ahlus sunnah wal Jamaah sedangkan perbuatan dan ucapan mereka menyimpang dari pegangan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah. Ini termasuklah puak Wahabiyyah /Talafiyah/ Takrifiyah. Pada hakikatnya golongan ini adalah 'penjelmaan' semula dari Fahaman sesat Mujassimah. 

Orang awam yang tiada ilmu terpengaruh dengan dakwaan2 dan hujjah2 batil mereka. Kesesatan ini disemarakkan lagi dengan terbitnya golongan pelajar2 muda kelulusan agama. Dengan hanya membekalkan Ilmu syari'ah atau beberapa hadis yang mereka pelajari di bilik2 kuliah, mereka cuba mencabar Ilmu Ulama2 Mu'tabarah terdahulu. 

Jadi bagaimana cara untuk menyelamatkan Iman dari "kuman bahaya wahabiyyah" dan juga fahaman kesesatan yang lain? Kita perlu mentelaah secara saksama dari perkataan2 Ulama Mu'atbarah yang diakui oleh seluruh Ummat Islam seperti Imam Jailani, Shaikh Ibnu Ata'illah, Imam Ghazali, Imam Hanbali, Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan lain2nya. 

Berikut adalah himpunan ciri-ciri penting pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dipetik dari Kitab Al-Ghunyah Li Talibil Haqq dan Ihya Ulumuddin serta kitab Mu'tabarah lainnya. Mudah-mudahan bermanfaat.. 




1. PENGERTIAN IMAN 

Iman adalah meyakini dengan hati, mengucapkan dengan lisan dan memenifestasikan dengan amal perbuatan. Iman bererti pembenaran oleh hati disertai pengetahuan tentang apa yang dia benarkan. Sedangkan menurut syari'at, Iman bererti pengetahuan tentang Allah dan sifat2Nya disertai ketaatan atas semua hal yang wajib dan yang sunnat dan menghindari berbagai larangan dan maksiat. 

Atau Iman bererti agama, syari'at dan millah, kerana agama bererti suatu yang dianuti disertai dengan ketaatan dan penghindaran dari larangan dan segala yang haram. Hal itu merupakan sifat Iman. 

Islam juga termasuk didalam Iman. Setiap Iman adalah islam tetapi bukan setiap islam itu Iman, kerana Islam bererti penyerahan dan ketundukan. Setiap Mukmin pasti menyerahkan diri dan tunduk kepada Allah, tetapi tidak setiap yang berserah diri beriman kepada Allah. Kerana dia menyerahkan diri kerana takut pedang. Dengan demikian Iman merupakan nama yang mencakup berbagai sebutan, baik dalam wujud perbuatan maupun ucapan, sehingga mencakup segala bentuk ketaatan. 


2. IMAN DAPAT DIPERKUAT DENGAN ILMU DAN DIPERLEMAH DENGAN KEBODOHAN. 

Firman Allah : 
فَأَمَّا الَّذِينَ ءامَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ 
Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).
(At-Taubah, 9 :124)
 



3. IMAN DAPAT BERTAMBAH DAN BERKURANG. 

Ahlus Sunnah berpendirian Iman bertambah dengan ketaatan dan menjauhi segala larangan Allah. Sementara ianya berkurang dengan berkurangnya ketaatan dan bertambahnya ma'siat seseorang. 

Firman Allah : 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ 

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. 
(Al-Anfal, 8 : 2) 


Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Abu Hurairah serta Abu Darda' , mereka berkata : 

"Iman itu dapat bertambah dan berkurang." 



4. IMAN BUKAN MAKHLUK 

Berdasarkan kata Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya orang, apakah Iman itu makhluk? Beliau menjawab, 

"Barangsiapa mengatakan bahawa iman itu makhluk bererti dia telah kafir, kerana demikian bererti dia telah menentang Al-Qur'an" 

Iman adalah cahaya Ilahi yang melimpah kedalam hati seseorang hamba. Wadah yang menanggung Iman, iaitu hati adalah makhluk, tetapi zat Iman bukan makhluk. 



5. DILARANG BERKATA : "AKU PASTI MU'MIN" 

Seorang Mu'min tidak boleh mengatakan "aku pasti Mu'min". Tetapi katakanlah : "Aku ini orang Mu'min InsyA Allah" Hal ini menolak pendapat Mu'tazilah yang mengatakan, "aku pasti Mu'min" 

Pendapat kami berdasarkan kata2 Sayyidina Umar, "Barangsiapa mengaku dirinya Mu'min (yakni pasti Mu'min), bererti dia telah kafir! 



6. PENGERTIAN ISLAM 

Islam merupakan ungkapan dari dua Kalimat Syahadat yang disertai dengan ketenangan hati dan di iringi menjalani semua kewajipan. Perintah Allah yang wajib di kerjakan dengan sungguh2 dan sempurna. Segala tegahan Allah yang haram di tinggalkan tanpa belah bahagi. 


Kewajipan Asas adalah : Mendirikan Rukun Islam yang lima : 
1. Mengucapan dua kalimah Syahadat dengan keyakinan. 
2. Mendirikan Solat 
3. Berpuasa di bulan Ramadhan 
4. Menunaikan Zakat 
5. Mengerjakan Haji bagi yang bekuasa. 

Selain dari kewajipan asas tersebut, banyak lagi kewajipan lain yang wajib ditunaikan mengikut ukuran dan tingkatan tuntutannya: 

iaitu Berbakti kepada Ibubapa, Berkhidmat kepada Guru /Ulama Pewaris Nabi, Berda'wah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Berjihad Fisabilillah dan lain-lain. 

Kemudian wajib pula menjauhi segala yang diharamkan : 

Iaitu Berzina, minum arak, berjudi, tenung nasib, membunuh jiwa tanpa hak, menipu, merampas harta tanpa hak, menganiya /menzalimi makhluk Allah, mengumpat, khianat dan banyak lagi. 



7. PENGERTIAN IHSAN 


Ihsan adalah perhambaan yang tulus ikhlas kepada Allah yang tiada sedikitpun syirik didalam penyembahannya. Ibadahnya semata-mata kerana Allah, kerana kasihnya, kerana cintanya ; bukan kerana menuntut atau mengaharap sesuatu samada duniawi atau ukhrawi. 

Didalam Tasawwuf, Maqam Ihsan di lihat sebagai maqam tertinggi bagi seorang hamba Allah didalam penghampirannya kepada Allah. Ini berdasarkan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : . : 

"Hendaklah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau." (Bukhari) 

Hadis ini tidak dapat ditafsirkan dengan pengetahuan aqal semata-mata. Ianya adalah pengahayatan hati dan ruh yang terhasil daripada mujahadah di jalan Allah sebagaimana yang di tunjukkan oleh para Imam, Shaikh Toriqat Sufiyyah! 



8. WAJIB BERPEGANG KEPADA SALAH SATU MAZHAB FIQH 

Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah : Wajib bagi seseorang yang belum sampai ke taraf Mujtahid, berpegang kepada salah satu mazhab Fiqh yang diakui oleh Ulama2 Ahlus Sunnah. Sebaik-baiknya berpegang kepada salah satu dari mazhab Fiqh yang masyur iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie atau Hambali. 

Seseorang yang belum bertaraf Mujthaid, hanya boleh berpegang kepada salah satu Mazhab pada suatu masa didalam mengerjakan Ibadahnya. Dan disyaratkan dia mesti mengetahui/telah mempelajari selok belok mazhab tersebut. Apa yang cuba di sampaikan adalah : Harus seseorang berpindah kepada mazhab lain dengan syarat dia mengetahui selok belok hukum didalam mazhab tersebut; bukan kerana ikut-ikut sahaja. 

Mujtahid adalah : Seseorang yang alim didalam Ulmul Qur'an, mengetahui nasikh-mansuh, alim didalam hadis Nabi, mengetahui hadis Sahih - hadis maudhu', Ilmu usul, berbagai lughah bahasa Arab dan banyak lagi disiplin Ilmu yang berkaitan sehingga melayakkan dia untuk menerbitkan hukum untuk diri sendiri. 

Beberapa kemusyklian : 

Ada golongan yang mendakwa mereka hanya merujuk Al-Qur'an dan Hadis Nabi dan tidak berpegang kepada Mazhab Fiqh. Alasan mereka. Nabi tidak bermazhab, sahabat juga tidak bermazhab. 

Jawapan : 
(i) Sahabat Nabi hidup bersama Nabi, semua kemusykilan mereka ajukan kepada Nabi untuk penjelasan. Tiada perbezaan pendapat kerana sumbernya satu iaitu kata2 Nabi. Apabila zaman berlalu, sahabat2 telah bertebaran di seluruh dunia, ilmu yang sampai kepada generasi berikutnya berbeza2 di sebabkan adanya perbezaan periwayatan sahabat. Inilah yang menjadikan berlakunya perbezaan pendirian Imam2 Mazhab, iaitu Ijtijhad mereka sesuai dengan apa yang mereka terima menurut pandangan mereka. 

(ii) Al-Qur'an adalah Kalamullah yang suci. Setiap perkataannya mengandungi makna2 yang jelas dan mudah di fahami dan juga makna2 yang tersembunyi. Ada2 ayat bersifat umum, ada yang bersifat khusus, ada ayat2 muhkamat dan ada ayat2 mutashabihat. Untuk memahami semua jenis ayat2 Allah yang suci ini, seseorang perlu memiliki ciri2 penting yang melayakkan dia untuk mentafsirkannya ; Di antara yang paling penting bersifat taqwa, telah hafal seluruh Al-Qur'an dan hafal juga hadis2 Nabi berkaitan, mengetahui berbagai lugah bahasa Arab dan lain-lain lagi. 

(iii) Hadis2 Nabi berjumlah ratusan ribu bahkan mungkin mencecah sampai juta hadis. Untuk menerbitkan sesuatu hukum, seseorang perlu memahami Hadis2 Nabi yang banyak dari berbagai periwayatan. Orang awam yang jahil tak dapat melakukan ini. 

(iv) Semua Mazhab yang masyur dan di akui adalah pada hakikatnya pancaran Al-Qur'an dan Hadis Nabi juga. Para Imam cuma menghimpunkannya menjadi satu disiplin Ilmu yang tersusun agar orang2 awam dapat mengamalkan Islam dengan mudah tanpa mencari2 hukumnya. Sebagai contoh yang mudah ; Untuk mengerjakan solat kita hanya perlu merujuk kepda kitab Fiqh bab solat. Di sana di jelaskan hukum halal haram, sah batal dsb. 

(v)Kita cuba tanya orang2 mendakwa mereka cuma rujuk Al-Qur'an dan Hadis Nabi dan tidak mahu mengikut mazhab......bagaimana agaknya mereka melakukan wudhu? Bagaimana mereka mengerjakan solat? Cuba tunjukkan di mana didalam Al-Qur'an atau Hadis Nabi yang menunjukkan tentang2 rukun solat yang 13 dan wudhu yang 6? Cuba tunjukkan dmana sah dan batalnya solat. Cuba kamu keluarkan hukum2 tersebut dengan sendiri. Boleh? 

Jika perkara2 asas agama seperti solat pun, kamu tak dapat keluarkan hukum dengan sendiri, maka akurlah dengan pegangan dan anjuran Ulama Ahlus Sunnah. Jangan tertipu dengan tipudaya syaitan dan nafsu! 



9. WAJIB MENGAMALKAN TASAWWUF 

Seluruh Ulama2 Ahlus Sunnah berpendirian wajib bagi setiap Muslim mengamalkan Tasawwuf. Tasawwuf adalah Ilmu yang membicarakan tentang ahwal hati, segala penyakit2 hati, sifat2 tercela dan sifat2 terpuji, sekalian syirik2 khafi serta menunjukkan jalan membaiki hati tersebut melalui zikrullah dan mujahadah. Seluruh Ilmu ini adalah bersumberkan Al-Qur'an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم 

Ilmu Tasawwuf yang wajib di amalkan diterangkan didalam kitab2 Ulama Ahlus Sunnah seperti Ihya Ulumuddin, Minhajul Abidin, I'anatut-Talibin, Sirrus-Salikin dan Hidayatus-Salikin. 

Berkata Imam Ghazali رضي الله عه : : 

"Bermula ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya berupa iri hati, riya' dan semisalnya adalah Fardhu 'ain." 
Seseorang Muslim tidak akan dapat menjadikan dirinya sebagai hamba Allah dengan hanya mengamalkan Ilmu Fiqh semata2. Tetapi wajib baginya menghimpun keduanya ; iaitu Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasawwuf untuk kesejahteraan zahir dan batin. Seperti kata Imam Malik رضي الله عه : 

"Sesiapa yang mengamalkan Fiqh tanpa Tasawwuf, maka dia fasiq. Sesiapa mengamalkan Tasawwuf tanpa Fiqh, maka dia zindiq. Mengimpun keduanya itu yang haq." 

Untuk pengetahuan yang lanjut, sila rujuk... 

http://sejuta-muslim.blogspot.com/2010/10/kewajipan-amalkan-tasawwuf-dan-bahaya.html 




10. MENGENAL ALLAH 

Wajib meyakini Allah itu Esa, tempat bergantung, tidak beranak dan tidak di peranakkan serta tidak seorang pun setara denganNya. Tidak ada yang menyerupai dan MenandingiNya, tiada pembantu dan sekutu bagiNya. Tidak ada yang mengarahkan dan menunjukkanNya. Dia tidak dapat di sentuh atau dilihat. Dia tidak mempunyai susunan anggota seperti manusia atau makhluk lainnya. 

Dia, Allah mempunyai nama2 dan sifat2 keAgunganNya. Dia adalah Tuhan yang tiada Tuhan melainkan Dia, Tidak ada yang sesuatu menyerupai sepertiNya.....! 

Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuanNya, 

Dia Maha Berkehendak dan mentadbir makhluk Nya menurut Kemahuannya....! Tidak ada suatu makhluk pun boleh memintaNya untuk berbuat sesuatu. Dia tidak menurut kehendak atau permintaan manusia. Segala ketetapannya akan berlaku menurut KehendakNya tanpa campurtangan sesiapa jua....!!! 

Dia Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. KekuasaanNya meliputi segala yang ada. Dia Yang Maha berkuasa memebri manfaat dan menolak mudarat. Tidak ada suatu makhluk pun dapat melakukan sesuatu melainkan dengan KekuasaanNya. 

Dia mencipta segala makhluk Nya berserta perbuatan mereka. Dia Maha Pemberi Rezeki dan menentukan kadar rezeki menurut kemahuanNya. Dia menentukan ajal bagi mereka masing2 yang tak boleh dimajukan atau di takhirkan! 

Dia menentukan kebinasaan bagi alam 'fana' ini dan akan di ganti dengan Alam Akhirat. Dia Yang Maha Adil akan mengadili manusia mengikut amal masing2. 



11. SIFAT-SIFAT ALLAH 

Allah memiliki segala Sifat-Sifat Kemuliaan dan Ketinggian dan Kepujian. Tidak ada yang memiliki Sifat2 ini melainkan Dia Allah semata2. 

Berkata Shaikh Muhyiddin, Allah memiliki Sifat2 yang tidak dapat digambarkan dan diserupakan dengan sifat2 makhlukNya. Misalnya Tangan, Mata, Wajah, Pendengaran, Penglihatan, Kehidupan dan kekuasaan. Selain itu Dia juga yang bersifat dengan Pencipta,Pemberi Rezeki, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Berkenaan dengan semua itu kita tidak boleh menyimpang daripada Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sedangkan mengenao proses dan cara dalam Sifat2Nya kita serahkan sepenuhnya kepada Allah. 

Kita di larang menyamakan sifat2 Allah dengan makhluk. Seperti menyatakan Allah itu berjisim. Demikian di tegah mengatalan Allah berjisim tetapi bukan seperti jisim-jisim. 

Imam Ahmad Bin Hambal menyebut : 

“ Sesiapa yang mengatakan Allah berjisim maka dia telah kafir, begitu juga kafirlah yang mengatakan Allah itu berjisim tapi tak serupa dengan jisim-jisim ”. 


Inilah sebabnya Kaum Mujassimah dan Mushabbihah sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah. 

Ibnu Hajar Al-Haitami berkata : 

“ Ketahuilah bahawa Al-Qorrofi dan selainnya telah menukilkan dari Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah Radhiallahu Anh bahawa mereka semua mengkafirkan mujassimah ”. 



12. AF'AL (PERBUATAN) ALLAH DAN AF'AL MANUSIA. 

Allah menjadikan manusia berserta perbuatannya. Ini berdasarkan 

Firman Allah : 

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
 

"Dan Allah menciptakan kalian dan apa yang kalian perbuat." (37:96) 


Bahkan wajib meyakini bahawa tiada suatu yang bergerak atau diam di alam maya ini melainkan ianya perbuatan Allah pada hakikatnya. Setiap zarrah yang ada diatas muka bumi dan langit semuanya menurut ketetapan Allah yang Azali. Setiap kejadian berlaku menurut ukuran dan masa yang ditentukanNya tidak terdahulu sesaat dan tiada terkemudian sesaat. Tiada yang dapat mengubah ketetapan ini melainkan ianya menjadi ketetapan Dia juga yang Azali. 

Berbeza denga makhluk lain, manusia diberi pilihan oleh Allah untuk berusaha ikhtiar. Dia diberi pilihan memilih jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Dia diberi pilihan untuk mencari Iman dan ketaatan atau Kufur dan keengkaran. Dan manusia akan di balas sesuai menurut pilihannya itu. 

Firman Allah :

وَإِنَّ كُـلاًّ لَّمَّا لَيُوَفِّيَنَّهُمْ رَبُّكَ أَعْمَالَهُمْ إِنَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ خَبِيرٌ 

"Dan sesungguhnya tiap2 seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka ; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengtahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan" (hud, 11 : 111) 

Dengan demikian Allah menggantungkan pahala dan siksaan pada amal perbuatan manusia. Dan berdasarkan itu pula Allah memberikan kesempatan untuk berusaha. Hal ini jelas bertentangan dengan pendapat kaum Jahmiyyah yang menyatakan bahawa manusia sama sekali tidak mempunyai hak berusaha. Menurut mereka manusia laksana pintu yang di tutup dan dibuka, atau seperti pohon yang digerakkan atau dibiarkan diam. Dan kerana itu merek adianggap sebagai penolak kebenaran, penentang Al-Qur'an dan Hadis. 

Dan jika ada ayang bertanya : "Adakah ini bermakna seseorang manusia itu bebas menentukan nasibnya menurut kehendak dirinya, tanpa terikatan dengan Allah?" 

Kami menjawab : "Semua itu adalah menurut ketetapan Allah yang Azali jua. Walaupun seseorang itu berusaha menuju keimanan, melakukan segala kebaikan dan ketaqawaan semasa hayatnya dan mati didalam keimanan semua itu adalah anugerah Allah Ta'ala kepada hamba tersebut. Bukanlah itu milik insan itu secara mutlak sebaliknya terkandung didalam semua kejadian itu Ilmu, Kehendak dan Kekuasaan Allah...!!! 

Untuk pencerahan lanjut sila baca di sini... 


http://sejuta-muslim.blogspot.com/2010/09/salah-memahami-taqdir-dan-usaha-ikhtiar_02.html 



13. ALLAH BERSEMAYAM DI ATAS ARASY 

Ahlus Sunnah Wal Jamaah meyakini Allah bersemayam di atas Arsy. Selayaknya penyebutan kata Istiwa (bersemayam) tanpa disertai penafsiran. Kata itu bererti istiwa'uz-Zat di atas Arsy, BUKAN bererti duduk seperti yang di pegang oleh kelompok Mujassimah dan Karamiyyah. Juga tidak bererti penguasaan atau dominasi yang dikemukakan oleh kaum Mu'tazilah kerana syari'at tidak mengisyaratkan hal itu. Para sahabat dan tabiin juga tak pernah mengungkit hal itu....!!! 

Diriwayatkan dari Ummu Salamah, isteri Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengenai Firman Allah, "Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arsy." Beliau menjawab, " Al-Kaif (cara) tidak boleh difkirkan dan istiwa tidk diketahui. ( 

Berkata Shaikh Muhyiddin, 

"Pengakuan terhadap hal itu merupakan kewajipan dan mengingkarinya adalah kekafiran..!" 

Di bawah Arsy terdapat 70,000 hijab yang terbuat dari cahaya dan kegelapan. Arsy ditanggung oleh beberapa Malaikat yang memikulnya.

Arasy mempunyai batasan yang hanya diketahui oleh Allah. Luasnya melebihi luas langit dan bumi. "
 




14. SIFAT-SIFAT YANG TIDAK BOLEH DI NISBAHKAN KEPADA ALLAH 

Wajib meyakini Allah Ta'ala bersifat dengan segala sifat Kepujian dan Ketinggian dan Kesempurnaan....! Tidak ada sesuatu yang mengurangi segala sifat Kemuliaan Allah Ta'ala ini. Dengan kata yang lain, adalah di larang mensifatkan Allah dengan suatu yang bersifat kekurangan atau kelemahan........! 

Berkata Imam Jilani Radhiallahu Anh, 

Ada beberapa sifat yang tidak boleh di sifatkan kepada Allah, di antaranya ; bodoh, ragu, prasangka, lalai, lupa,mengantuk, tidur, lengah, lemah, mati, bisu tuli, buta, syahwat, sedih, dukacita, rugi, sesat, sakit, lazat, mudarat, berharap dan dusta. 

"Dia juga tak boleh disebut : muthiqan (mendapat kekuatan) , kerana Dialah mencipta segala kekuatan. Dilarang juga menyebut : "mahfuzan" (terjaga) kerana Dia adalah zat yang selalu menjaga. . 

Beliau juga mengatakan ada beberapa sifat yang boleh di nisbahkan kepada Allah iaitu : bahagia, tertawa , murka, marah dan redha. Maujud, dalil dan tabib....! 



15. KEDUDUKAN AL-QUR'AN 

Ahlus Sunnah meyakini bahawa Al-Qur'an adalah Firman Allah, kitab dan wahyu yang diturunkan melalui Jibril kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم . 

Firman Allah : 


وَإِنَّهُ لَتَنزِيلُ رَبِّ الْعَـلَمِينَ - نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الاٌّمِينُ - عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِين - بِلِسَانٍ عَرَبِىٍّ مُّبِينٍ
 

"Dan sungguh Al-Qur'an telah diturunkan oleh Tuhan semesta alam, di bawa turun oleh ruh-al-amin (Jibril) kedalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas," 

Al-Qur'an adalah kitab yang disampaikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada Ummat Baginda sebagai keta'atan Baginda kepada perintah Tuhan semesta alam. 


Al-Qur'an adalah Qadim (bukan baharu /bukan makhluk) iaitu sesuatu yang di nisbahkan kepada Zat Allah Ta'ala. Firman Allah adalah salah satu sifat Allah iaitu Yang Maha Berkata-kata. Al-Qur'an itu turun dari Allah dan kepadaNya akan kembali. 


Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas telah mentafsirkan Firman Allah, "Adalah Al-Qur'an dalam bahasa Arab yang tidak ada kebengkokan." dengan penafsiran bahawa Al-Qur'an bukan makhluk. 


Imam Ahmad ketika di tanya mengenai orang yang mengatakan "Lafaz Al-Qur'an itu makhluk", beliau menjawab "orang itu telah kafir." 


Imam Jilani Radhiallahu Anh berkata : 

"Barangsiapa menganggap Al-Qur'an sebagai makhluk bererti dia telah kafir kepada Allah. Kerana itu dia tidak boleh digauli, tidak boleh dijadikan Imam Solat, tidak boleh di nikahi, tidak sah dijadikan saksi, tidak sah menjadi wali bahkan tidak boleh di sembahyangkan jika mati. Mintalah dia bertaubat sampai 3 kali seperti orang Murtad. Jika dia bertaubat dan dia (mengucap) kembali, maka dia menjadi Muslim. Jika tidak dia wajib di bunuh." 



16. KEDUDUKAN ORANG BERIMAN YANG BERDOSA BESAR 

Ahlus Sunnah Wal Jamaah meyakini bahawa orang beriman yang berbuat dosa besar dan kecil, dia TIDAK menjadi kafir. (selama dia tidak redhai perbuatan dosa itu). meskipun mati sebelum bertaubat terlebih dahulu. Asalkan matinya didalam keadaan beriman walaupun Imannya sebesar zarrah. 


Ahlus Sunnah berkeyakinan bahawa orang beriman yang dimasukkan kedalam neraka kerana dosa besar, dia tidak tinggal didalam neraka selamanya. Dia akan dikeluarkan pada satu saat setelah menerima hukuman sesuai dengan kejahatannya. Wajah mereka terhindar dari api. Anggota tubuh yang di gunakan untuk bersujud kepada Allah juga tidak terbakar neraka di haramkan untuk membakarnya. 


Dia akan terus merasakan pedihnya azab neraka selama berada didalamnya. Kemudian dia dimasukkan kedalam syurga, dan mendapat tingkatan sesuai dengan ketaatannya di dunia. 


bersambung Insya Allah

No comments:

Post a Comment

Allah Allah