Saturday, January 29, 2011

PERMULAAN KEJADIAN MAKHLUK....!

HAKIKAT NUR MUHAMMAD - ASAL KEJADIAN MAKHLUK !
Susunan : Tok Kelana

(Keterangan berikut adalah suntingan dari Kitab Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar oleh Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه )

Berkata Shaikhuna........


Nur Muhammad (Hakikat Muhammad)- Asal Kejadian

Semoga Allah Ta'ala memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.

Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman:

“Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku”.

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan sabdanya:

“Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci”.

“Mula-mula Allah ciptakan qalam”.

“Mula-mula Allah ciptakan akal”.


Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah.

Dia dinamakan Nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah.

Allah Yang Maha Tinggi berfirman:

قَدْ جَآءَكُمْ مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَـبٌ مُّبِينٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”. (Al-Maaidah, ayat 15)

Dia dinamakan aqal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya.

Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda صلى الله عليه وسلم menyatakan hal ini dengan sabda Baginda,

“Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku”. Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda صلى الله عليه وسلم di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad’ adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.


Kejadian Insan berupa jasad dan ruh

Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan Arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada Arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.

ثُمَّ رَدَدْنَـهُ أَسْفَلَ سَـفِلِينَ

“Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah”. (Surah Tin, ayat 5)

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam Lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘Roh Sultani (ruh pemerintah)’.

Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani’.

Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia’. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.

مِنْهَا خَلَقْنَـكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى 

“Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi”.
(Surah Ta Ha, ayat 55)

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى

“Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. (Surah Shad, ayat 72)



Lupa Asal usul kejadian dan perjanjian

Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka:

“Adakah aku Tuhan kamu?

Mereka telah menjawab: "Iya, bahkan!.”

Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِـَايَـتِنَآ أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَـتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ 

“Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah”. (Surah Ibrahim, ayat 5)

Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah’.


Utusan Allah - menunjukkan jalan kembali kepada Allah! 

Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.

Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah. Allah berfirman:

قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِى أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِى 


“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)”.
(Surah Yusuf, ayat 108).

Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Baginda صلى الله عليه وسلم dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda,

“Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar”.

Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.

وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

“Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)”.
(Surah Kahfi, ayat 65).


Cari Pewaris Nabi - Bergabunglah didalam kafilah Keruhanian

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.

Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah. Allah memerintahkan:


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَـوَتُ وَالاٌّرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ - الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى السَّرَّآءِ وَالضَّرَّآءِ وَالْكَـظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَـفِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ 


“Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan”.
(Surah Imraan, ayat 133 & 134).

Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian (Toriqat Ahli Sufi - pent.) untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini. Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan buang air. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda صلى الله عليه وسلم berdukacita melihat keadaan kamu.

Baginda صلى الله عليه وسلم telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda صلى الله عليه وسلم bersabda,

“Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.

(Di sini tamat petikan kitab)


Pengajaran dan catatan penting untuk renungan:

1. Nur Muhammad (hakikat Muhammad) - adalah makhluk Allah yang pertama di jadikan oleh Allah Ta'ala. Inilah pegangan yang sah daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

2. Segala makhluk lain adalah dijadikan daripada Nur Muhammad.

3. Ruh seluruh manusia dari Adam Alaihis Salam sehingga manusia terakhir telah dijadikan oleh Allah dan berada di alam Lahut. Apabila seseorang ditaqdirkan untuk lahir ke muka bumi, maka ruh nya akan ditiupkan kedalam rahim ibunya. Inilah maknanya Allah menurunkan manusia ke alam paling rendah. (alam ajsam, alam kebendaan)

3. Keterangan ayat Qur'an .... “Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”. (Al-Maaidah, ayat 15) adalah bukti Nur Muhammad sebagai kejadian asal bagi segala makhluk, sebagaimana tafsir Ulama Ahlus Sunnah.

4. Manusia wajib mencari jalan kembali kepada Allah dengan mengikut perintah Nabi صلى الله عليه وسلم zahir dan batin. Ketika diri zahir Nabi tiada lagi di dunia nyata, maka wajib mencari para Pewaris Nabi yang meneruskan 'risalah' kenabian. Mereka wujud pada setiap zaman dan akan tetap wujud sehingga hari Qiamat!

Rujuk sini :

http://kerjayahalal.blogspot.com/search/label/A4-%20PEWARIS%20NABI%20SEBENAR


Menuju ke akhir zaman- Qiamat, bilangan Pewaris Nabi akan berkurangan sehingga sangat sukar untuk bertemu mereka. Keadaan ini bertambah buruk dengan adanya Ulama dunia-ulama jahat, Ahli2 keruhanian yang tersesat memberi fatwa2 sesat dan menyesatkan!

Semoga Allah selamatkan kita semua dari fitan akhir zaman!

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment

Allah Allah