بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Allah Ta'ala menetapkan Rezeki bagi setiap yang hidup. Sehingga kepada ulat didalam batu pun mempunyai Rezeki yang di tentukan oleh Allah Ta'ala baginya.
Allah Ta'ala juga meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya dan menyempitkannya bagi yang lain..... Firman Allah Ta'ala didalam Al-Qur'an yang Mulia:
مَّن ذَا الَّذِى يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
( Al-Baqarah : 245)
Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa di atas rezeki dan kelapangan hidup manusia. Namun kita diperintah berusaha mencari rezeki yang ditentukan oleh Allah ini. Islam menyeru setiap Ummatnya yang berkuasa berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal di atas muka bumi. Islam tidak menyuruh seseorang bermalas-malas dan menyerah bulat-bulat kepada Allah Ta'ala. Sebaliknya mestilah berusaha dahulu kemudian menyerah kepada Allah Ta'ala
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ حَطَبٍ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيْعَهَا فَيَكُفَّ اللهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ، أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوْهُ.
"Sungguh, seseorang dari kalian mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di atas belakangnya, kemudian ia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang lain, mereka memberinya atau tidak memberinya".[Bukhari]
Di dalam relaiti hidup adakalanya seseorang di permudahkan dan diperluaskan rezekinya. Bagi yang lain ianya menjadi suatu yang amat sukar sehingga terpaksa menanggung kepahitan dan kesulitan yang amat pedih. Tiada kerja, perniagaan tidak menjadi, perusahaan mengalami kerugian, syarikat menjadi bankrap dan lain-lainnya adalah di antara ujian-ujian hidup yang sangat berat untuk di tanggung.
Bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman, tidak patut berputus asa dengan berbagai kesulitan ini kerana Allah Ta'ala itu Maha Pemurah lagi Maha Kaya. Dia tidak akan berkurang dengan memberikan harta kekayaan kepada seseorang bahkan kepada seluruh yang melata di atas muka bumi. Kita perlu terus menerus menadah tangan merayu kepada Allah Ta'ala agar Dia membuka jalan-jalan memudahkan mendapat rezeki.
Bagi mereka-mereka yang susah mendapat kerja, perniagaan yang tidak menjadi, masalah kewangan yang meruncing dan sebagainya cubalah amalkan panduan yang diamalkan turun temurun oleh para Salaf Saleh :
1. Melazimkan membaca Suratul Waqi'ah
Surah ini dikatakan pembuka 'murah rezeki' diamalkan oleh para Ulama salafus-saleh. Ianya diamalkan setiap pagi sebelum keluar bekerja. Ada juga yang mengatakan wiridkan surah ini sebelum tidur.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wasallam :
"Surah al-Waqi'ah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkannya kepada anak2 kamu." (Kashful Kafa)
"Surah al-Waqi'ah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkannya kepada anak2 kamu." (Kashful Kafa)
2. Wiridkan ayat Taqwa di bawah ini :
Firman Allah :
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً - وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
"......dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka....."
(At-Talaq 2,3)
Mudah-mudahan dengan berkat usaha yang sungguh-sungguh yang dilimpahi Rahmat Allah Ta'ala, akan terbuka jalan-jalan memperoleh kebaikan dan kelapangan hidup kita di atas muka bumi ini.
Wallahu A'lam
No comments:
Post a Comment
Allah Allah