Wednesday, September 22, 2010

TAQDIR DAN USAHA IKHTIAR -PENJELASAN QADHA MUBRAM DAN MUALLAQ


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Beberapa hamba Allah mengirim email bertanyakan tentang artikel yang tersebar di internet berhubung dengan Qadha Mubram dan Qadha Mu’allaq.   Menurut dakwaan artikel tersebut, qadha mubram adalah taqdir azali yang tetap tidak berubah dan qadha muallaq adalah Taqdir yang tertakluk kepada perubahan dengan sebab doa dan amalan seseorang…!


BEBERAPA PENJELASAN: 









1.    Jika pembaca telah meneliti huraian kami pada tiga artikel sebelum ini,     

….. pembaca tentu dapat gambaran yang jelas tentang apa itu Taqdir Azali dan hubungannya dengan segala kejadian dan kehidupan di alam maya ini.   Demikian juga hubungan doa /usaha ikhtiar manusia  berkait dengan Taqdir Azali.  Kita merasakan tak perlu ulangi lagi.


      2. Jika kita merujuk kepada kitab2 Ulama Ahlus-Sunnah yang terkemuka seperti Shaikh Abdul Qadir Jilani, Imam Sufyan Ats-Tsauri,  Shaikh Ibnu Arabi, Shaikh Ibnu Ato’illah, Imam Ghazali dan lain2nya kita tidak temui pembahagian ini didalam membicarakan  Aqidah dan Taqdir Azali.

Kemungkinan pembahagian Taqdir kepada 2 bahagian ini dilakukan oleh Ulama2 kemudiannya untuk menunjukkan bahawa manusia memiliki usaha ikhtiar dan mereka harus berusaha dan berdoa untuk memenuhi tuntutan hidup sebagai Muslim dan Mu’min. (untuk membezakan dengan Golongan Jabariyah yang menafikan usaha ikhtiar manusia). 

3. Jika anda meneliti semua tulisan kami pada ketiga2 bahagian yang menyentuh Taqdir Azali, Doa dan Usaha Ikhtiar,  anda akan dapati dengan sesungguhnya bahawa doa dan usaha ikhtiar adalah pemberian Allah kepada manusia.  Namun usaha ikhtiar manusia tidak memberi  bekas. Segala yang berlaku adalah menurut ukuran kehendakNya yang tertulis pada Azali.  Inilah pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

4. Jika doa atau usaha seseorang sesuai dengan apa yang terjadi, ini bukan bermakna doa dan usaha manusia berjaya mengubah Taqdir Azali…tidak sama sekali!    Hakikatnya apa yang berlaku adalah doa dan usaha ikhtiar manusia itu sesuai dengan apa yang tertulis pada Azali.  

Dengan perkataan lain yang jelas, Allah Ta’ala yang mentaqdirkan seseorang itu berusaha dan berdoa dan Dia (Allah) juga yang menentukan bahawa hamba itu memperoleh menurut doa dan usaha ikhtiranya.


5. Jika seseorang tidak di pandu dengan baik, penerangan tentang Qadha Mubram dan Mua’allaq ini boleh membawa kepada penyewengan Tauhid /aqidah ;  pada sudut memahami dan mengi’tiqadkan doa usaha ikhtiar dan Taqdir Azali.    Jika seseorang mengi’tiqadkan doa ikhtiarnya berkuasa mengubah ketentuan Azali ,  atau mengi'itiqadkan bahawa dia  memperoleh sesuatu hasil ikhtiarnya (menyandarkan diri pada amal) maka ini bertentangan Tauhid, mengEsakan Allah pada sifat2Nya yang Maha Agung – iaitu sifat Allah Yang Maha Alim, Maha Berkehendak, dan Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.




Pembaca boleh meneliti artikel di bawah ini yang dikirimkan kepada kami di susuli dengan jawapan kami di bawahnya…..

Ini artikelnya.....








"Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.


Takdir mempunyai beberapa bahagian:
Pertamaialah takdir di dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.” (Surah Qaaf ayat 29)

Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau ‘takdir yang pasti’ dan mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.

Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat UmmulKitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)
Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: “Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan.”

Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Tirmizi)



JAWAPAN KAMI
5.  Kita melihat beberapa ungkapan ayat didalam artikel diatas yang boleh membawa kepada salah faham kepada Taqdir Azali dan usaha ikhtiar manusia.

Pertama :

Ungkapan….
’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Penjelasan …..
Di sini ada kekeliruan faham didalam mengi’tiqadkan Taqdir Azali, Sifat Maha Berkehendak Allah dan kehendak manusia.

Apakah maksudnya “pengetahuan Allah tidak mempengaruhi kehendak hamba?” 

Adakah ini bermakna seseorang hamba bebas melakukan sesuatu dengan kuasanya?

Adakah ini bermakna Allah Ta’ala tidak mengetahui bahawa hambanya akan berbuat sesuatu? 

Atau adakah ini bermakna hamba tersebut akan membuat sesuatu yang baharu sedang Allah tidak mengetahuinya?

Atau adakah kehendak hamba berlainan dari Kehendak Allah?

Sedangkan menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Allah Ta’ala Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia Maha Mengetahui zahir dan batin yang tersembunyi.   Dia yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Tidak ada satu zarrah bergerak atau diam melainkan dengan KekuasaanNya.

Jika demikian bagaimana sesuatu tindakan yang akan di ambil oleh hamba di luar pengetahuan Allah?   Bagaimana pula seorang hamba mampu melakukan sesuatu jika bukan itu kehendak Allah?   Bagaimana pula hamba tersebut mampu melakukan sesuatu tanpa Kekuasaan Allah Ta’ala.  

Sudah tentu Allah Ta'ala mengetahui sekalian yang akan diperbuat hambanya.  Dan Dia juga mengetahui akan apa-apa penentuan yang akan diberikan kepada hambaNya.  Maka apabila sampai masanya dan keadaannya manusia memperoleh sesuatu yang sudah pun menjadi bahagian yang telah ditentukan oleh Allah Ta'ala.

Semua ini membawa kita kepada kesimpulan bahawa  segala tindakan yang diambil oleh makhluk adalah didalam genggaman Kekuasaan, Kehendak dan Ilmu Allah!  Tiada sesuatu pun terkeluar daripadanya.

Dengan demikian ungkapan diatas    ’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”        adalah ungkapan yang berlawanan dengan  Tauhid Af’al Allah, iaitu MengEsakan Allah pada segala perbuatanNya. perlu diperbetulkan atau diberi kefahaman yang jelas supaya orang ramai tidak menjadi keliru.

Kedua :

Ungkapan ……
Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.


Penjelasan…………..
Peristiwa Sayyidina Umar Radhiallahu Anh menghukum orang yang mencuri adalah benar kerana beliau menghukum menurut Syari’at Ilahi yang termaktub didalam Al-Qur’an dan Hadis Nabi.

Pendakwaan pencuri bahawa dia ditaqdirkan oleh Allah untuk mencuri adalah benar (pada sisi hakikat)   kerana tiada suatu pun berlaku di alam ini melainkan ianya ketentuan Allah pada hakikatnya.  Tetapi dia bersalah kerana melafazkan dengan perkataan barang yang sepatutnya menjadi pegangan hati.   

HAQIQAT ADALAH PEGANGAN HATI YANG TIDAK BOLEH DILAFAZKAN, SEDANGKAN PERKATAAN DAN PERBUATAN WAJIB BERDIRI PADA SYARI’AT .   (sila rujuk Sirrul Arsrar)

Maka tindakan Sayyidina Umar menghukumnya dengan hukuman berat adalah benar kerana si pencuri melafazkan dengan perkataan barang HAQIQAT yang sepatutnya menjadi pegangan hati sahaja!


Ketiga:

Ungkapan……
Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun.

Penjelasan……..
Ungkapan diatas bercanggah dengan pendirian Ahlus-Sunnah Wal Jamaah berdasarkan AL-Qur’an dan Hadis Nabi  bahawa umur seseorang sudah ditentukan ketika di tiupkan ruh kedalam janin didalam perut ibunya.  Bagaimana umur seseorang yang ditentukan oleh Allah boleh bertukar dengan perbuatan manusia?  Bagaimana umur seseorang yang telah tertulis 60 tahun yang mati pada sekian waktu, hari dan tempatnya boleh di tukar disebabkan usaha ikhtiar manusia?   Jika ianya boleh bertukar, dimana sifat Allah Yang Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa?   Seseorang yang beri’tiqad bahawa usianya boleh bertambah dengan sebab usaha ikhtiarnya, adalah dia melemahkan sifat Allah Yang Maha Berkehendak kerana seolah2 Allah Ta’ala terpaksa menurut kemahuan hambaNya!   Maha Suci Allah daripada di perintah dan dikuasai oleh sesuatu!

Jika demikian penjelasannya,  bagaimana cara memahami Hadis Nabi bahwa kebajikan memanjangkan umur seseorang?

Maksudnya Hadis tersebut adalah :  Seseorang yang dipanjangkan umurnya sudah pun ditaqdirkan pada Azali.  Umpamanya umurnya sampai 90 tahun.  Maka dia dipermudahkan oleh Allah untuk melakukan kebajikan ketika hidupnya.    Orang yang melihat akan berkata dia dipanjangkan umur kerana kebaikan dan kebajikannya.  Pada hakikatnya ianya adalah ketentuan Allah yang Azali, iaitu umurnya panjang dan dia memperbuat kebajikan – kedua-kedua nya  dan kesemuanya adalah  didalam Taqdir Allah Yang Azali.

Perkataan Allah Ta’ala menambah umur dari 60 ke 90 umpamanya wajib  dielakkan kerana ianya seolah2 membawa maksud Allah menurut kehendak dan perbuatan manusia sedangkan MAHA SUCI ALLAH daripada  di takluk oleh zaman dan keadaan!!!


Keempat :

Ungakapan….
Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.

Penjelasan …
Fahaman ini sangatlah mengelirukan …
Jawapan kepada persolan  ini ada didalam Hadis Nabi :

Abdullah bin Mas'ud radhiallahu Anh berkata., Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
"Maka demi Allah, yang tiada tuhan yang haq disembah melainkan Dia, sesungguhnya seseorang diantara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dia dan syurga kecuali sehasta, namun telah terdahulu ketentuan (taqdir) Tuhan atasnya, lalu ia mengerjakan perbuatan ahli neraka, maka ia masuk ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang diantara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antara dia dan neraka kecuali sehasta, namun telah terdahulu ketentuan(taqdir) Tuhan atasnya, lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalamnya" (Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Fahamlah kita bahawa bukan disebabkan amal seseorang, Allah Ta’ala terpaksa mengubah TaqdirNya. Bahkan Dia telah menentukan arah dan pilihan bagi hamba, menurut apa yang ditentukanNya pada Azali.   
Orang2 yang ditentukan sebagai ahli syurga akan dipermudahkan untuk beramal dengan amal2 kebaikan sebagai orang beriman sehingga akhir hayatnya.  Seseorang yang asalnya kafir, iaitu melakukan syirik dan kekufuran, tetapi telah tertulis taqdirnya bahawa dia sebagai ahli syurga,( iaitu mati beriman), maka di akhir hayatnya dia akan mendapat petunjuk untuk beriman dan beramal soleh sebagai Mu’min dan mati sebagai Mu’min.
Contoh :  Ah Chong beragama Budha dan melakukan syirik sepanjang hidupnya dari remaja sehingga tua.  Tetapi pada Taqdir Azali tertulis bahawa Ah Chong ini sebagai ahli Syurga.  Maka pada akhir hayatnya Ah Chong ini akan mendapat hidayah dengan apa cara yang ditentukan oleh Allah sehingga dia menjadi orang Islam yang beriman kepada Allah.  Dan dia menghembuskan nafasnya sebagai orang beriman.!
Bukanlah sebagaimana fahaman di atas bahawa taqdir seseorang ditulis sebagai ahli neraka kemudian dia boleh atau mungkin menjadikan dirinya sebagai ahli syurga dengan melakukan amal soleh!  Ini fahaman yang mengelirukan dan bertentangan dengan fahaman Ahlus Sunnah yang sebenarnya!

Ke Lima:

Ungkapan……..
Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: “Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan.”


Penjelasan………
Maksud perkataan Imam ini adalah :

 Menerima penghapusan dan penetapan yang ditqadirkan pada Azali juga.   Berlakunya penghapusan ini pun adalah didalam Takluk Ilmu, iradat dan Kudrat Allah, bukan kerana kehendak makhlukNya!   Bukanlah  juga ianya  suatu yang baharu dirancang dan dibuat perubahan.    Tetapi perubahan dan penghapusan ini adalah menurut ketetapannya yang Azali jua!   Iaitu Allah Ta’ala menetapkan pada Azali bahawa akan berlaku penghapusan dan penetapan lain menurut ILMU, KEHENDAK DAN KEKUASAANNYA.  Bukan menurut kehendak atau kemahuan makhluk!

Didalam perkataan yang lebih jelas, BUKAN perbuatan manusia memaksa Allah melakukan perubahan berdasarkan permintaan atau usaha ikhtiar hamba!  Bukanlah disebabkan seseorang hamba berusaha melakukan amal kebaikan, maka taqdir  yang ditentukan pada Azali berubah atau dihapuskan!  Jika demikian, lemah lah Allah didalam menentukan segala sesuatu.    Jika seseorang mengatakan penghapusan dan perubahan itu disebabkan oleh perbuatan makhluk maka ini bercanggah dengan I’tiqad Ahlus Sunnah bahawa Allah Ta’ala berkuasa di atas segala sesuatu!

Sekali lagi kita katakan huraian yang sebenar tentang Taqdir Mu’allaq ini perlu diberi penjelasan sewajarnya agar tidak memesongkan aqidah dan pemahaman bahawa bahawa manusia bebas menentukan sesuatu dan boleh mengubah Taqdir Azali  menurut kehendaknya. …..TIDAK! Bahkan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha menentukan segala sesuatu  sesuatu, dan berlakunya setiap sesuatu berdasarkan ketetapannya pada Azali!

KESIMPULAN :

Pada hakikatnya Taqdir Azali itu satu sahaja iaitu sebagaimana Firman Allah :

Firman Allah :
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ
Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]
Berkata Ibnu Kathir, 
(Kami catitkan satu persatu didalam kitab yang jelas nyata) bermaksud segala sesuatu tentang makhluknNya sudah pun tercatit di Luh Mahfuz.  Al-Imam Al-Mubin bermaksud sumber segala catitan. Ini lah pendapat Mujahid, Qatadah dan Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam. 
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : 
كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء
Maksudnya: “Allah Ta'ala  telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].
Firman Allah Ta’ala :

 
إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : 3 ]

Pembahagian kepada Taqdir kepada dua bahagian ;  Taqdir Mubram dan Mu’allaq mungkin dilakukan oleh Ulama2 kemudian untuk menunjukkan adanya ‘perbuatan manusia’  dan perlunya manusia berusaha untuk menjadikan diri mereka Mu’min.    Tetapi ianya memerlukan penjelasan yang sebaiknya supaya mereka yang membaca tidak terkeliru sehingga menyandarkan amal pada diri sendiri atau mengi’tiqadkan bahawa manusia mempunyai kuasa untuk merubah Taqdir Azali!  Ini sudah tentu akan membawa kepada menyalahi I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Semoga di tunjukki Allah kepada kebenaran dan kesucian!

Wallahu A'lam

Rujukan Utama :
1. Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar
2. Futuhul Ghaib
3. Fathur Rabbani Wa Faidhur-Rahmani
4. Futuhatul Makkiyyah
5. Ihya Ulumuddin

4 comments:

  1. satu:
    HAQIQAT ADALAH PEGANGAN HATI YANG TIDAK BOLEH DILAFAZKAN, SEDANGKAN PERKATAAN DAN PERBUATAN WAJIB BERDIRI PADA SYARI’AT .

    Maka tindakan Sayyidina Umar menghukumnya dengan hukuman berat adalah benar kerana si pencuri melafazkan dengan perkataan barang HAQIQAT yang sepatutnya menjadi pegangan hati sahaja!

    dua:
    Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.

    Penjelasan …
    Fahaman ini sangatlah mengelirukan

    ------------------

    mcm ironi je dua statement ni?

    ReplyDelete
  2. Assalamu 'Alaikum wr wb

    Reise,

    Penjelasan Haqiqat dan Syari'at.

    Istilah Haqiqat sangat dalam perbahasannya didalam Bab Aqidah dan Tasawwuf.

    Secara makna yang mudah difahami, haqiqat adalah pandangan mata hati terhadap rahsia segala yang maujud (wujud) serta rahsia kejadian yang berlaku di alam ini berhubung dengan Af'al (perbuatan) Allah dan sifatNya yang Maha Tinggi.

    Oleh kerana ianya pandangan mata hati, maka ianya tidak dapat dilafazkan dengan kata2. Ianya semata2 rahsia Aqidah dan Iman.

    Sementara Syari'at adalah hukum2 Allah berhubung segala tingkah laku dan perkataan manusia yang dapat dilihat dengan mata kasar.


    Segala taqdir baik yang berlaku kepada kita, hendaklah dikembalikan kepada Allah, iaitu mensyukurinya sebagai Ni'mat dan Rahmat Allah. Segala kejahatan dan kekejian hendaklah diakui sebagai kesalahan diri sendiri. (walaupun kedua-duanya adalah dari Allah pada haqiqatnya)


    Contoh : Si A mendapat kejayaan didalam pelajarannya, maka wajiblah dia mengakui kejayaan itu sebagai Rahmat dan Ni'mat Allah. Jika satu masa si A membunuh seseorang, maka dia perlu salahkan diri sendiri atas dosanya. Dia tak boleh menyebut Allah yang jadikan dia pembunuh. Orang yang menyalahkan Allah diatas kesalahan dirinya boleh jatuh kufur!

    Walaupun di tinjau dari sudut Haqiqat, memang benar segala sesuatu dialam ini adalah Af'al Allah (perbuatan Allah) namun kita di larang melafazkan didalam kata2 bahawa Allah yang jadikan kita demikian. Segala kelemahan, kekurangan, kekejian dan perbuatan jahat hendaklah di nisbahkan pada diri sendiri.

    Dengan penjelasan ini bermakna, orang yang melakukan perbuatan menyalahi hukum Allah (Syari'at) pada wajib di hukum mengikut hukum yang termaktub didalam Al-Qur'an dan Hadis Nabi!

    Seseorang yang membunuh orang lain, jika bersabit kesalahannya maka wajib di hukum mengikut Hukum had didalam Islam.

    Seseorang yang berzina wajib direjam sampai mati jika dia sudah berkahwin.

    Seseorang yang mencuri, dan bersabit kesalahannya wajib di potong tangannya sebagaimana termaktub didalam hukum Syari'at.

    Inilah Syari'at dan Haqiqat. Kedua2nya wajib menjadi pakaian orang beriman ; Hati sentiasa berpegang pada haqiqat sementara perkataan dan perbuatan berdiri pada syari'at.

    Inilah pegangan Ahlus Sunnah Wal jamaah.

    Semoga di tunjukki Allah!

    Wallahu A'lam

    ReplyDelete
  3. FAHAMI AYAT :
    Falam taktuluhum, WalaakinAllah haqatalahum.
    (Bukan kamu yg membunoh, tetapi Allah yg membunoh).

    Walaromaita iz romaita, WalaakinAllah ha roma.
    (Bukan kamu yg melontar(tombak),tetapi Allah yg melontar).

    #Ayat menceritakan nabi Muhammad(saw) membaling tombak dlm satu peperangan.


    Cuba sama2 fahami ayat ini dari segi ilmu HAQIQAT. Tahulah "KITA" dimana?......

    ReplyDelete
  4. Fahaman iman2 SYAARIAT untuk menjadi hujjah bagi menghuraikan erti SEBENAR Qadho' MUBRAM & MUALLAQ TIDAK boleh diterima pakai sepenuhnya.
    Ia memerlukan juga hujjah dari imam TASAWWUF.

    ReplyDelete

Allah Allah