Monday, September 6, 2010

TAQDIR SUDAH DITENTUKAN - KEWAJIPAN BERAMAL!

Bismillahir-Rahmanir-Raheem

Taqdir Ilahi dan Alam semesta!

Sambung bicara darihal doa, usaha ikhtiar dan Taqdir….bukan saja doa seseorang tidak mempunyai kuasa untuk menolak Taqdir bahkan tiada suatu kuasa apa pun di dunia ini dapat mengubah ketentuan Allah Yang Azali.  Segala sesuatu berlaku di atas alam maya ini, tepat pada waktunya,  halnya dan anasirnya -  tidak terdahulu sesaat dan tiada terkemudian sesaat dari ketentuan Allah Yang Azali.
Segala yang dilangit dan bumi, cakerawala, peredaran bintang2, planet, bulan dan matahari semuanya berjalan pada landasannya menurut ukuran dan kiraan tepat yang ditentukan oleh Allah Ta’ala.  Ini merupakan i’tiqad yang benar pada sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 



Taqdir dan Nasib manusia!
Untuk menguatkan lagi keyakinan kita terhadap taqdir Allah Yang Azali ini,  di sana kita melihat banyak hadis2 Nabi tentang kehidupan, ajal dan kematian.   Setiap insan yang lahir ke bumi telahpun di taqdirkan keadaan dirinya, umurnya, rezekinya dan kesudahan dirinya menjadi ahli syurga atau neraka sebagaimana sabda Nabi   : 
            
Sabda Nabi     صلى الله عليه وسلم , "Tidaklah salah seorang dari kamu melainkan telah dituliskan tempat duduknya, apakah ia termasuk penduduk neraka atau penduduk syurga" (Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, seseorang sudah tentu bertanya-tanya apa gunanya kita beramal jika sudah ditentukan nasib kita oleh Allah Ta’ala.  Sudah tentu pula ada yang berfikir pula bagaimana pula seruan2 Allah supaya kita berusaha mencari jalan ketuhanan, jika Dia telah menentukannya?  Dimana letak usaha ikhtiar kita. ?
Ada pula yang terlebih pemikirannya sehingga usul keatas ke atas lagi sehingga aqalnya tidak dapat berfikir lagi tentang sebab2 Allah jadikan makhluk serta menentukan Taqdirnya. Yang ini boleh membawa kepada menjadikannya orang yang sesat….Wal Iyazubillah!. 
Didalam hal Taqdir, Qadha dan Qadar ketentuan Ilahi kita dilarang terlalu memikirkan tentang mengapa dan bagaimana. Kerana aqal manusia tak akan mampu mencapai segala Rahsia yang tersembunyi. Kita cuma diperintah mematuhi segala perintah Allah dan RasulNya, beramal sungguh2 untuk mencari Rahmat dan Kasih Allah.  Sebab itu apabila di tanya orang mengenai Taqdir keatas setiap manusia, maka Rasulullah menjawab ringkas “beramallah, nescaya dipermudahkan”  sebagaimana hadis Nabi….,
Dari Imran bin Husain Radhiyallahu’anhu, ia berkata:
Rasulullah   صلى الله عليه وسلم . ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui orang yang akan menjadi penghuni syurga dan orang yang akan menjadi penghuni neraka? Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. menjawab: Ya. Kemudian Baginda ditanya lagi: Jadi untuk apa orang-orang harus beramal? Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   menjawab: Setiap orang akan dimudahkan untuk melakukan apa yang telah menjadi taqdirnya. (Shahih Muslim )

Dan lagi hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah…..

Sayyidina  Ali Karramallahu Wajhah berkata, :

“Kami sedang mengiringi sebuah jenazah di Baqi Gharqad (sebuah tempat pemakaman di Madinah), lalu datanglah Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم menghampiri kami. Baginda segera duduk dan kami pun ikut duduk di sekeliling Baginda yang ketika itu memegang sebatang tongkat kecil. Baginda menundukkan kepalanya dan mulailah membuat goresan-goresan kecil di tanah dengan tongkatnya itu kemudian Baginda bersabda: Tidak ada seorang pun dari kamu sekalian atau tidak ada satu jiwa pun yang hidup kecuali telah Allah tentukan kedudukannya di dalam syurga ataukah di dalam neraka serta apakah ia sebagai seorang yang sengsara ataukah sebagai seorang yang bahagia. Lalu seorang lelaki tiba-tiba bertanya: Wahai Rasulullah! Kalau begitu apakah tidak sebaiknya kita berserah diri kepada taqdir kita dan meninggalkan amal-usaha? 
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Barang siapa yang telah ditentukan (taqdir) sebagai orang yang berbahagia, maka dia akan mengarah kepada perbuatan orang-orang yang berbahagia. Dan barang siapa yang telah ditentukan (taqdir) sebagai orang yang sengsara, maka dia akan mengarah kepada perbuatan orang-orang yang sengsara.  Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya: “Beramallah! Karena setiap orang akan dipermudah! Adapun orang-orang yang ditentukan sebagai orang berbahagia, maka mereka akan dimudahkan untuk melakukan amalan orang-orang bahagia. Adapun orang-orang yang ditentukan sebagai orang sengsara, maka mereka juga akan dimudahkan untuk melakukan amalan orang-orang sengsara. Kemudian Baginda membacakan ayat berikut ini: "Adapun orang yang memberikan hartanya di jalan Allah dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar.” (Shahih Muslim )

Abdullah bin Mas'ud radhiallahu Anh berkata., Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
 "Maka demi Allah, yang tiada tuhan yang haq disembah melainkan Dia, sesungguhnya seseorang diantara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dia dan syurga kecuali sehasta, namun telah terdahulu ketentuan (taqdir) Tuhan atasnya, lalu ia mengerjakan perbuatan ahli neraka, maka ia masuk ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang diantara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antara dia dan neraka kecuali sehasta, namun telah terdahulu ketentuan (taqdir) Tuhan atasnya, lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalamnya" (Imam Bukhari dan Imam Muslim)


Hadis2 ini menjelaskan jika seseorang di taqdirkan hidup sebagai Mu’min dan mati sebagai Mu’min maka dia akan dipermudahkan oleh Allah untuk beramal dengan segala amalan orang beriman mengikut petunjuk yang benar.  Sebaliknya orang yang ditentukan mati kafir, akan di tunjukkan perbuatan2 kejahatan dan kemungkaran sehingga dia mati kafir!  Wal Iyazubillah!

Di sini letaknya dalil yang lebih kuat menunujukkan bukan amal kebaikan seseorang memasukkannya kedalam syurga dan menyelamatkannya dari neraka bahkan semua itu Rahmat Allah Yang Maha Pemurah.   Dan bukanlah doa seseorang dapat menolak ketentuan Taqdir Allah sebaliknya Allah menentukan pada Azali apa2 yang akan diminta oleh manusia, mana2 yang  dimaqbul oleh Allah sebagai pemberian kepada manusia!

Haqiqat dan Syari'at

Walau bagaimanapun penentuan Taqdir oleh Allah Ta’ala tidak patut dijadikan sebagai alasan untuk tidak beramal atau tidak berdoa, atau mengengkari Syari'at!  


Berdasarkan pendidikan Tasawwuf, iaitu pendidikan hati dan kejiwaan, seorang Muslim wajib berpegang kepada kedua ini ; Haqiqat dan Syari'at. Haqiqat adalah pegangan hati atau pandangan mata hati terhadap Allah dan hakikat segala sesuatu yang dijadikan oleh Allah. Sementara Syari'at adalah pakaian zahir perkataan dan perbuatan manusia mengikut Syari'at Nabi.   Sesiapa yang mengengkari salah satu daripadanya, boleh menyebabkan penyimpangan dan terjatuh kepada pegangan Mu'tazilah atau Jabariyyah!  Wal Iyazubillah!


Kita bawakan satu contoh :  Seorang pencuri pada hakikatnya di taqdirkan oleh Allah. (pegangan hati) Tak mungkin dia menjadi pencuri melainkan itu adalah Taqdir Allah!  Walau bagaimana pun Syari'at menentukan pencuri dikenakan "had" apabila cukup bukti dan syaratnya iaitu di potong tangannya.  Maka melaksanakan hukuman potong tangan adalah wajib atas pencuri tersebut. (zahir syar'iat)  


Lelaki dan wanita berzina pada haqiqatnya ianya Taqdir Ilahi (pegangan hati).  Tetapi Hukum Syari'at mengatakan wajib direjam sampai mati pagi pasangan yang sudah berkahwin. (perkataan dan perbuatan zahir syari'at). Maka melaksanakan hukum "Had" tersebut adalah wajib!


Demikian seterusnya tidak harus seseorang meninggalkan doa dan usaha ikhtiar mencari jalan kebaikan dengan alasan ianya sudah ditaqdirkan. Dan tidak patut bahkan haram dia menyalahkan Tuhan atas apa2 keburukan yang menimpa dirinya. Sebaliknya dia patut menyalahkan dirinya sendiri!

Beramal dan berserah kepada Allah!
Bagi kita yang beriman kepada Allah mengikuti pegangan Ahlus Sunnah, sepatutnya bersyukur dan lebih kuat2 lagi beramal kerana kita mengetahui bahwa Allah Ta’ala sedang mengurniakan kebaikan atas dirinya. 

Didalam beramal, seseorang wajib mengikhlaskan diri dan menyerahkan segala urusannya kepada Allah. Jauhkan sama sekali daripada meletakkan pergantungan atas amal kita, sebaliknya sentiasa bergantung hati dengan Allah dan kemurahanNya serta benar2 berharap Allah Ta’ala akan memberikannya kebaikan dan memasukkannya kedalam Rahmat dan Kasih SayangNya!

Wallahu A’lam

3 comments:

  1. Boleh huraikan lebih lanjut bahagian ini:

    ...."Adapun orang yang memberikan hartanya di jalan Allah dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar.” (Shahih Muslim )

    Jazakallah...

    ReplyDelete
  2. Bismillah
    Assalamualaikum

    Ana pernah merujuk perkara ini kepada seseorang... bila ditanya, adakah doa mampu mengubah taqdir? maka dijawab. Itu dibawah ilmu Allah dan kita tidak tahu. Diberi penjelasan lagi mengenai 2 jenis taqdir (mua'llaq & mubram) antara salah satu ini boleh mengubah seperti ada kisah malaikat yang diperlihatkan umurnya sekian.. namun, bila sampai masanya tidak berlaku dan kerana sedekahnya dipanjangkan umur.

    Mohon pencerahan yang arif.
    Wassalam

    ReplyDelete
  3. Assalamu Alaikum wr wb

    Kepada 1000lan,
    Penjelasan lanjut adalah :
    Itu adalah ayat Qur'an berhubung dengan tajuk perbincangan iaitu usaha ikhtiar manusia dan Taqdir Azali terhadap manusia; syurga atau neraka.

    Rasulullah menyebut ayat tersebut sebagai menunjukkan bagaimana orang2 yang ditaqdirkan oleh Allah sebagai Mu'min dan ahli syurga akan mematuhi hukum2 Allah dengan sesungguhnya dan juga kerja2 kebajikan yang diperintah oleh Allah....dalam ayat ini disebut salah satu daripadanya iaitu membelanjakan harta pada jalan Allah.

    Mkasud belanjakan harta pada jalan Allah adalah bersedekah kepada Fisabilillah, faqir miskin, anak2 yatim dll.

    Jika kita melihat seseorang melakukan hal2 yang tersebut diatas maka itulah tandanya Allah sedang mempermudahkan untuknya jalan ke syurga! Dan jika kekal didalam keadaan demikian sehingga nafasnya yang terakhir maka syurga tempatnya sebagaimana dijanjiakn Allah! Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Menyempurnakan janjinya.

    Sebaliknya jika kita melihat seseorang Muslim yang bakhil /kedekut untuk memberi sedekah kepada orang lain, sangat berkira2 didalam membelanjakan hartanya (walaupun dia mampu) untuk Fi sabilillah, anak yatim dan faqir miskin, maka ketahuilah dia sedang menuju jalan2 ke neraka! Jika dia tidak bertaubat dan kembali kepada kebaikan dan kesucian maka ditakuti mati didalam jalan Su ul Khatimah! Wal Iyazubillah!

    Wallau A'lam

    ReplyDelete

Allah Allah