Thursday, September 23, 2010

SYIRIK KHAFI ROSAKKAN IMAN DAN BATALKAN AMAL !

MUQDDIMAH :  SYIRIK ‘JALI’ DAN ‘SYIRIK KHAFI'


Firman Allah :

قُلْ إِنَّمَآ أَنَاْ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـهُكُمْ إِلَـهٌ وَاحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَـلِحاً وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدَا 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.  
[Al-Kahf (18) : 110]




Pernahkah  anda mendengar orang Islam pergi ke kuil sembah berhala?
Pernahkah  anda melihat orang bernama Jaafar yang beragama Islam, pergi ke tokong Budha dan menyembahnya?
Pernahkah  anda terbayang orang Islam bernama Salmah melakukan upacara penyebahan kepada dewa2?

Orang2 yang masih ada Iman dihatinya akan menjawab TIDAK!  Mengapa ?  

Sebab ianya diketahui umum bahawa penyembahan kepada berhala, dewa2 adalah SYIRIK yang menjadikan seseorang menjadi MURTAD, keluar dari Agama islam!

Syirik yang dikenali sebagai Syirik Jali, atau syirik yang nyata terang(besar ) ini  tidak akan dilakukan oleh orang yang masih ada Iman dihatinya walau sebesar zarrah! 

Tetapi syirik khafi atau syirik tersembunyi, menurut Ulama Arifin,  dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang islam samada disedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar!  

Mengapa dinamakan syirik khafi/syirik yang tersembunyi ?   Kerana ianya tersembunyi didalam hati, tiada diketahui oleh oleh makhluk, manusia. Termasuk malaikat juga tidak mengetahuinya.  Hanya Allah yang mengetahui barang yang tersembunyi  didalam hati anak adam ini! 

Syirik khafi adalah penyembahan manusia kepada berhala-berhala hati!

Berhala2 zahir di tokong dan kuil tidak akan dikunjungi oleh orang Islam!   Tetapi berhala hati menjadi kunjungan orang2 Islam setiap waktu dan hari kerana ianya ada didalam dadanya!

Manusia Muslim yang beriman, tidak sanggup menyembah batu, matahari dan tokong sebagaimana dilakukan oleh orang2 Musyrik!  Tetapi mereka (kebanyakannya) tidak terlepas dari menyembah berhala2 hati kerana berhala hati ada bersama mereka!

Berhala2 yang ternampak kelihatan pada zahir, boleh  ditinggalkan supaya tidak menyembahnya!   Tetapi berhala hati terlalu payah untuk ditinggalkan atau diruntuhkan, kecuali  hamba2 yang diberi pertolongan oleh Allah!

Sebagaimana yang diterangkan  oleh para Arifin Billah, yang Arif didalam masalah hati, berhala hati boleh berupa ‘nafs’ - diri sendiri atau dunia, kekayaan, pangkat, kedudukan,  kekuatan, ubat-ubatan, sains, teknologi, makhluk yang dipuja dari kalangan wanita atau penguasa2!   


Inilah  sembahan2 hati yang paling lumrah bagi manusia iaitu ;  

‘penyembahan kepada nafsu/diri sendiri’,  
‘penyembahan kepada dunia dan perhiasannya’,
‘penyembahan kepada pangkat dan kekayaan’,
‘penyembahan kepada kedudukan dan jawatan’, 
‘penyembahan kepada wanita’, 
‘tawakkal kepada  kekuatan diri atau kekuatan makhluk,
'tawakkal kepada kehebatan sains dan teknologi dll.

Bentuk penyembahan2  / berhala hati ini digambarkan didalam beberapa ayat Allah:

Firman Allah:
 أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?  
(Al-Furqan,  25 : 43)

Firman Allah :
 اتَّخَذُواْ أَحْبَـرَهُمْ وَرُهْبَـنَهُمْ أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ إِلَـهاً وَحِداً لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَـنَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ 
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya di suruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak di sembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan (At-Taubah 31).

Rasulullah    Sallallahu Alaihi Wasallam  memberi tafsiran menyembah pendeta/penguasa didalam hadis berikut....
Adi bin Hatim (ketika itu belum Islam) menghadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam     dengan salib dilehernya, dia berkata:  ”Mereka tidak pernah menyembah (para pendeta)”  Rasulullah  bersabda: ˜Ya (mereka menyembah para pendeta). Jika (para pendeta) mengharamkan kepada mereka sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram, mereka mengikuti (para pendeta itu) maka itulah cara mereka menyembah pendeta mereka”(Ahmad dan At-Tirmidzi)

BAHAYA SYIRIK ‘KHAFI’  SAMA BESAR BAHAYANYA DENGAN SYIRIK ‘JALI’

Bahayanya syirik khafi kerana ianya tersembunyi didalam hati!   Setengah orang islam menganggap syirik khafi sebagai syirik yang kecil sahaja, jadi tak perlu risau.  Sebenarnya pegangan atau pandangan ini sangat besar bahayanya kerana menurut tafsiran Ulama2 Tasawwuf, syirik khafi,  walaupun tidak membatalkan Iman seseorang, namun ianya terlalu bahaya kepada Iman dan amal seseorang sebagaimana Firman Allah dan Sabda Nabi ;

Dari Ibnu Abbas , Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

" Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar ".- (Al Hakim)


Bersabda Rasulullah  
صلى الله عليه وسلم  :

"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari Qiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Imam Ahmad, hadits shahih)


Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat riya’) dengan amal mereka” (Ibnu Majah, Al-Hakim)



BENTUK-BENTUK SYIRIK KHAFI

Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku didalam keadaan kita lalai dari mengingat Allah. Kita cuba melihat beberapa bentuk syirik khafi yang lazim berlaku didalam kehidupan kita.

PERTAMA :   BERGANTUNG HATI KEPADA SESUATU SELAIN ALLAH

Melihat diri atau atau menyandarkan pada diri sendiri  suatu amal kebaikan atau bergantung hati kepada makhluk lain (samada manusia atau jamadat) memberi   manfaat atau menolak mudarat adalah syirik khafi.

Syirik khafi jenis ini sangat lumrah berlaku kepada kita didalam urusan kehidupan kita seharian.  Iaitu seseorang melihat dirinya  melakukan ibadah yang banyak,  atau  melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh  suatu kebaikan didalam hidupnya.

Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain  atau benda2 yang di jadikan oleh Allah seperti  ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dsb.   Semua pegangan seperti ini adalah temasuk syirik khafi kerana mempersekutukan Allah pada Af’al Allah (perbuatanNya) dan SifatNya!

Contoh :
Seseorang yang dapat melakukan ibadah yang banyak lalu merasakan dirinya yang memperbuat amal tanpa menyandarkan keberhasilan ibadah kepada Allah adalah melakukan syirik khafi.

Contoh
Seorang mahasiswa yang berjaya mendapat pangkat tinggi didalam pelajarannya , berkata didalam hati bahwa kejayaan itu  adalah hasil usahanya sendiri atau disebabkan pertolongan manusia lain.  

Contoh :
Seorang Pengetua Sekolah yang berjaya membawa sekolahnya menjadi terkenal, merasakan didalam dirinya, semua kejayaan tersebut dicapai dengan hasil usahanya atau di capai dengan bantuan manusia  lain. 

Contoh :
Seorang doktor yang berjaya didalam suatu urusannya  mengibati pesakit berkata didalam hatinya bahawa pesakit tersebut sembuh disebabkan kehebatan usaha ikhtiarnya serta kepakarannya.

Semua ini dan contoh2 sepertinya adalah syirik khafi kerana menyandarkan diri pada amal atau meletakkan pergantungan pada amal atau meletakkan diri pada kedudukan mampu melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri atau makhluk lain sedangkan makhluk tidak mempuyai daya upaya sedikitpun. !!!

Tidak ada yang mampu memberi kesembuhan melainkan Dia!
Tidak ada yang boleh memberikan kejayaan melainkan Dia!
Tidak ada yang mampu melepaskan diri dari segala bencana selain Dia!
Pokoknya tidak ada yang mampu memberi manfaat atau menolak suatu mudarat dari kamu melainkan Allah!

Sabda Nabi   Sallalahu Alaihi wasallam :

“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluk sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah seslesi ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”. [Tirmizi, Ahmad]

Firman Allah :
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: “dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)”. [al-Insan: 30].
.
Firman Allah :
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”. (At-Takwir : 29)

 Firman Allah :

 
وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـكِنَّ اللَّهَ رَمَى

“ ……………. dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar……”

[ Al-Anfal (8) : 17]



Cabang – Teguran kepada pakar motivasi:

Kita pernah menegur pakar motivasi yang sering menggunakan perkataan2 yang boleh merosakkan aqidah seperti, katakan “aku hebat”,  “aku kuat”,   “aku boleh” .  

Kita faham tujuan mereka adalah   untuk mendorong anak didik mereka kepada kecemerlangan!  Tetapi perkataan2 ini boleh membawa kepada   syirik khafi yang merosakkan Iman serta membatalkan amal seseorang sebagaimana dibincangkan sebelum ini!  Wal Iyazubillah!  

Hati-hatilah pakar motivasi.!  Bukan yang penting ramainya pendengar, bukan yang penting ramainya yang  mencapai kejayaan cemerlang, bukan yang penting ramai jadi jutawan!  Tetapi yang paling penting Iman didada!    Semua kejayaan, kecemerlangan, tiada nilainya jika Iman telah binasa!

Jangan sesekali mendabik dada mengatakan ‘aku kuat’, ‘aku hebat’,   tapi katakanlah ‘aku insan yang lemah sentiasa mengharap keampunan serta Rahmat Allah!    Katakanlah aku Berjaya sebab Allah memberikan pertolonganNya pada aku.  Katakan aku menjadi jutawan atas kemurahan Allah kepadaku!

Jangan sesekali meletakkan kebergantungan hati pada kekuatan, kehebatan diri, pertolongan makhluk!  Tetapi pandanglah semua itu anugerah Allah!   


KE 2 :  ‘UJUB 

Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;

"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan ni’mat pada diri seseorang.  ( Sifat ini berlaku didalam diri seseorang walaupun tanpa hadir seseorang dihadapannya!)

‘Sifat ujub adalah satu syirik khafi yang membawa kepada kepincangan didalam Tauhid dan merosakkan amal.  

Firman Allah : 

 
يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggan dan cercaan….……”
[Al-Baqarah : 264]

Sabda Rasulullah
صلى الله عليه وسلم :

"Tiga perkara yang membinasakan, iaitu kikir yang dituruti, hawa nafsu yang di ikuti dan menghairani manusia (ujub) dengan dirinya.”  (Tabarani)"

Terjadi  ‘ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir  sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan.  Ertinya wujudnya ‘ujub ini dalam hati walaupun tidak hadir seseorang pun dihadapannya. 


Sebab2 yang melahirkan ‘ujub :

Ujub lazimnya terjadi pada diri seseorang dengan adanya suatu kelebihan atau kesempurnaan pada diri orang tersebut.   Diantaranya yang paling biasa berlaku :

1.   Kelebihan pada Ilmu dan kepintaran.
2.   Kelebihan pada harta kekayaaan dunia.
3.   Kelebihan pada anak2
4.   Kelebihan pada amal yang banyak.
5.   kelebihan pada kekuatan, keperkasaan tubuh.
6.   Kelebihan pada kekuasaan.
7.   Kelebihan pada keturunan.


Contoh 1 :  
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata didalam hati, “ Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak.” 

Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.

Contoh 3:
Seorang jutawan berasa hebat didalam hatinya akan  banyaknya harta pada dirinya

Demikian sebahagian contoh ‘ujub yang berlaku kepada seseorang yang mempunyai suatu kelebihan  ; adakalanya ia berlaku tanpa di sedari disebabkan bisikan nafsu dan Iblis.  

Orang2 yang dikurniakan oleh Allah dengan berbagai kelebihan ini seringkali lupa, lalai dan tenggelam didalam kelebihan yang ada pada  dirinya.  Ada juga sebahagian lain dibuai dan terlena dengan kelebihan tersebut sehingga di sangkanya dia telah mendapat  anugerah dan kedudukan yang baik di sisi Allah Ta'ala.  Dia merasa seolah2 dia menjadi hamba pilihan Allah! 

Maka bertambah2lah sifat 'ujubnya.   Sedangkan ini semua penipuan pada diri sendiri!
Ulama2 Arfin sepakat mengatakan bahawa sifat 'ujub adalah salah satu sifat yang merosakkan Iman dan amal seseorang hamba.  

Dengan demikian wajib atas kita sentiasa muhasabah diri, jangan sesekali merasai aman dengan Ilmu, amal, harta dan lain2 nya apalagi merasai hairan  didalamnya.   Sebaliknya wajib melihat kebesaran Allah didalam segala anugerah tersebut, lalu menjadi orang yang merendah diri walaupun tanpa kehadiran makhluk lain di hadapan kita!


KE 3 : RIYA’

Riya’ dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.!  (Ianya berlaku apabila hadir manusia lain dihadapannya atau sekitarnya. )(Lawannya adalah ikhlas!)

Riya’ ini  merupakan satu lagi syirik khafi yang lazim berlaku kepada orang2 yang beramal dan sangat sukar menyangkalnya. Kebarangkalian berlaku riya’ ini bertambah dengan bertambahnya beberapa faktor kebaikan lain seperti :

1)   Amalan yang di perelokkan dengan gaya dan perlakuan zahir tubuh. Misalnya melakukan solat dengan lemah lembut apabila melakukannya di khalayak ramai.
2)   Amalan yang di hiasi dengan perlakuan2 sunnat.  Contohnya solat yang disertai dengan sujud yang lama dihadapan orang lain.
3)   Amalan yang dilakukan dengan memperbanyakkan bilangannya atau kekerapannya.  Contohnya melakukan solat sunnat yang banyak ketika di masjid!

Semua ini menjadikan seseorang itu terdedah kepada riya’ yang lebih berbanding seseorang yang menyembuyikan amalannya. 

Riya’ membatalkan seluruh Ibadat atau amal kebajikan yang dikerjakan oleh seseorang.  

Firman Allah :

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَـتِهِمْ سَاهُونَ الَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ

Maka celakalah bagi orang2 yang bersembahyang, iaitu yang lalai didalam sembahyangnya. Yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang”  [Al-Ma’un ; 4,5,6]



Sabda Rasulullah
صلى الله عليه وسلم :

“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat riya’) dengan amal mereka” (Ibnu Majah, Al-Hakim)


Tiga keadaan berlaku Riya’ pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan. 

Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;

1)   Pada permulaan melakukan ibadat.
2)   Ketika sedang melakukan ibadat.
3)   Setelah selesai melakukan ibadat. 

Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya.  Tetapi gangguan riya’ datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal.  Dengan demikian seseorang wajib berhati2 dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat!

Umpamanya seseorang yang berdiri untuk solat. Pada awalnya memang dia niat ikhlas, tetapi dipertengahan ibadatnya hatinya berubah niat untuk menunjuk2.  Terasa dalam hatinya kebaikan amalnya  dan seolah2 orang sedang memujinya atau perasaan riya’ datang sebaik saja selesai amal. 

Ada bahaya lain menunggu. :

Ada satu lagi bahaya lain menunggu bagi orang yang beribadat atau melakukan amal kebajikan yang terlepas dari riya’.  Iaitu ketika seseorang terlepas dari riya’ dalam ibadatnya,   dia pun terasa dia hebat kerana dapat melepaskan diri dari riya’.  Sedangkan ini adalah satu lagi syirik khafi yang tidak disedari seperti yang dibicarakan sebelum ini.!!!

Jadi apa sepatutnya seseorang itu buat apabila dia dapat keluar dari riya’?   Iaitu dia hendaklah kembalikan keadaan dirinya kepada Allah Ta’ala; bahawa dia tidak mampu  untuk keluar dari riya’ dan menyucikan Tauhidnya melainkan dengan Allah!  Dengan demikian barulah seseorang dapat keluar dari syirik yang tersembunyi ini.!


KE 4 : TAKABBUR (MEMBESARKAN DIRI)

Takabbur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain.  Sifat ini lahir dari hati dan adakalanya terzahir didalam perkataan dan perbuatannya.  

Imam Ghazali memberikan pengertian Takabbur sebagai berikut :

“Maka pokoknya takabbur atau sombong ialah : Tingkah laku yang ada pada jiwa, iaitu merasa senang dan cenderung pada dilihat dirinya diatas orang yang disombonginya”


Akibat Takabbur :

Takabbur adalah diantara dosa yang sangat besar yang bukan sahaja membatalkan segala kebaikannya, bahkan lebih dari itu ianya bioleh membawa kepada kekufuran kerana mencabar kekuasaan Allah.;


Takabbur adalah mencabar kekuasaan Allah : 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
,   Firman Allah didalam Hadis Qudsi ; “   


"Takabbur itu selendangku dan Kebesaran itu kain sarung Ku. Maka barangsiapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan.” (Muslim)


Takabbur adalah sifat Iblis La’natullah :

Firman Allah :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لاًّدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَـفِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takabbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.  
[Al-Baqarah (2) : 34] 



Takabbur adalah sifat Fir’aun,Namrud  serta penguasa2 yang menyombongkan diri:

إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاسْتَكْبَرُواْ وَكَانُواْ قَوْماً عَـلِينَ

Kepada Firaun dan kaumnya; lalu mereka menentang (seruan Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takbur, serta menjadi kaum yang membesarkan diri.  
[Al-Mu’minoon, (23) : 46]



 Takabbur menyebabkan pintu hati tertutup :

Firman Allah : 

 
كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُـلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

“Begitulah Allah memeterai (menutup) setiap hati orang yang sombong dan sewenang2.(Al-Mu’min (40) : 35)

Takabbur menyebabkan sseseorang dicampak kedalam neraka!

Sabda Rasulullah
صلى الله عليه وسلم :

“Tidak akan masuk syurga orang yang ada didalam hatinya, seberat biji sawi, dari takabbur. Dan tidak akan masuk neraka orang yang dalam hatinya seberat biji sawi dari Iman”  (Muslim)


Sebab2 yang menimbulkan Takabbur :

Punca wujudnya takabbur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.  

1.   Takabbur dengan Ilmu.
2.   Takabbur dengan Amal
3.   Takabbur dengan tubuh badan – kecantikan,  kekuatan dll
4.   Takabbur dengan harta,  anak dan kekayaan dunia.
5.   Takabbur dengan banyak pengikut
6.   Takabbur dengan kemuliaan keturunan.
7.   Takabbur dengan kekuasaan. 


Tanda2 zahir yang terlihat pada diri seseorang yang  takabbur terlalu banyak, diantaranya :

1.   Memandang hamba Allah dengan pandangan hina.
2.   Merasa jijik dan hina duduk atau makan bersama orang miskin.
3.   Suka orang lain berdiri membongkok menghormati  dia.
4.   Suka orang lain memujinya dan memuliakannya.
5.   Menunggu orang lain memulai salam kepadanya.
6.   Kekita berhujah, dia benci pendapat dia ditolak.
7.   Jika diberi pengajaran atau nasihat enggan menerima walaupun nasihat itu benar.
8.   Jika dia memberi pendapat, sangat mengerasi padanya.
9.   Jika mengajar, dia bentak2 dan hina pelajar.
10.   Memandang semua orang lain kurang darinya. 
11.   Melakukan kezaliman dan penganiyaan atas hamba Allah. 

Demikianlah besarnya bahaya syirik khafi ini, terutama yang terakhir iaitu takabbur, membesarkan diri. Syirik khafi ini sangat payah dibuang kerana ianya bersebati didalam hati. Tiupan hawa nafsu dan Iblis menyemarakkan lagi syirik khafi ini supaya manusia engkar kepada Allah dan jauh dari RahmatNya!


CARA MENJAUHI SYIRIK KHAFI

Syirik khafi bersarang didalam hati. Nafsu dan tentera2 Iblis sentiasa menunggu peluang untuk menusuk ke hati anak adam untuk merosakkannya.   
 
Oleh sebab itu para Arif Billah memberikan panduan berdasarkan didikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa amalan terbaik untuk menyucikan hati,  menghancurkan nafsu kejahatan, mendidik nafsu menjadi nafsu yang baik, menghambat syaitan dan Iblis adalah dengan cara mengerjakan zikrullah yang banyak!.

Langkah2 yang sempurna adalah :

1. Lazimkan bertaubat

2. Banyak2 mengerjakan zikir dengan Kalimah Tauhid, zikir “La-Ilaha Illa-Allah”  siang dan malam sehingga hati menjadi bercahaya2 dengan cahaya ketuhanan!

3. Sentiasa muhasabah diri ,  samada kita berada di atas Tauhid atau sudah berlaku penyimpangan! 

4. Sentiasa melihat diri sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharap Rahmat Allah. Jika memperoleh kejayaan syukur banyak2nya kepada Allah. Jika gagal salahkan diri sendiri di atas kegagalan tersebut. Tetapi jangan putus harap, sebaliknya terus memohon pertolongan Allah.


RUMUSAN :

1. Syirik khafi adalah syirik tersembunyi  yang sama besar bahayanya dengan syirik ‘jali’.

2. Syirik khafi tidak membatalkan Iman seseorang, tetapi mencederakan Tauhid, pengEsaan terhadap Allah!   Jika dikekalkan tanpa  bertaubat dan berusaha membaiki hati dengan zikrullah, ditakuti hati akan menjadi gelap dan tertutup. Wal Iyazubillah!

3. Jalan terbaik untuk menghindarkan diri dari syirik khafi adalah kekalkan hati dengan bertaubat, tidak putus zikrullah dan sentiasa muhasabah diri!

4. Perjuangan melawan sifat2 kejahatan hati  terutama syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup!   Maka janganlah kita leka atau terhenti  daripada jihad ini. Berdasarkan sejarah, banyak manusia termasuk orang2 alim telah tewas kepada pujuk rayu Iblis dan nafsu, sehingga hati dan Iman menjadi binasa!  Wal Iyazubillah!    Semoga Allah selamatkan kita semua dari tipudaya nafsu dan Iblis!

Semoga kita tergolong kedalam hamba2 Allah yang disejahterakan hati oleh Allah!  

Rujukan utama :
Ihya Ulumuddin
Hikam Ibnu Ato ‘illah
Fathur-Rabbaniy Wa Faidhur-Rahmani
Al-Gunyah Li-Talibil Haqq

No comments:

Post a Comment

Allah Allah