Friday, September 3, 2010

DOA DAN IKHTIAR TIDAK BOLEH MENGUBAH TAQDIR....!

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Muqaddimah
Masalah Taqdir, doa, usaha ikhtiar sudah menjadi bahan perbincangan berkurun lamanya sehingga banyak golongan yang menjadi sesat. Bahkan golongan2 yang terkeluar dari Aqidah Ahlus-Sunnah adalah terutamanya disebakan pegangan mereka pada Qadha dan Qadar dan usaha ikhtiar. 

Kini, pada zaman ini pun perbicaaran ini belum berakhir. !!!


Kekeliruan Ummat Islam zaman ini berterusan!
Pada zaman ini terjadi banyak kekeliruan terhadap doa, usaha ikhtiar dan Taqdir.  Banyak pihak memuatkan pelbagai artikel menyatakan "doa boleh mengubah taqdir"  atau "usaha ikhtiar boleh mengubah Qadha dan Qadar Allah"  dan sebagainya tanpa penjelasan yang sempurna sehingga orang2 yang membaca tentu akan faham sememangnya "doa mempunyai kuasa untuk mengubah taqdir". Atau "seseorang boleh mengubah nasibnya menurut kemahuannya".   

Mereka sering uatarakan contoh2 seperti berikut :

Umpamanya seorang yang ditaqdirkan miskin. Lalu dia berusaha siang malam sehingga dia dapat menjadi kaya raya.  

Contoh lain seorang yang di taqdirkan umurnya 40 tahun. Lalu dia pun membuat kebajikan dan doa panjang umur sehingga umurnya dipanjangkan.  

Mengikut dakwaan mereka inilah contoh2 bagaimana doa mengubah Taqdir seseorang. !!!!

Kita katakan : Kesemua fahaman ini sangat besar bahayanya kepada Aqidah dan Tauhid seseorang. 


Sila baca penejalasan berikut baik-baik. Ianya bukan menafikan kelebihan doa dan kewajipan berdoa kepada Allah. Tidak juga melemahkan seseorang daripada berdoa. Tetapi hujjah2 berikut adalah membetulkan I'tiqad pegangan hati ketika kita berdoa dan selepas berhasil doa dan usaha ikhtiar!


Penjelasan :
1. Kita sudah pun bicarakan bahawa Taqdir atau Qadha dan Qadar adalah segala ketentuan Allah ke atas makhluqnya pada Azali.  Sila rujuk http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/09/salah-memahami-taqdir-dan-usaha-ikhtiar_02.html


Ketentuan atau ketetapan ini adalah menurut ukuran KehendakNya yang mutlak mengikut ketetapanNya pada Azali. Tiada makhluk bersekutu didalam ketetapan ini. Bukan juga sebab sesuatu yang akan dijadikanNya pada zaman kemudiannya.  Tetapi semata2 KemahuanNya.... kerana Allah Ta'ala bersifat dengan Sifat Maha Berkehendak!   


2. Ahlus-Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa :  Manusia diberikan  'usaha ikhtiar' tetapi usaha ikhtiarnya tidak memberi bekas. Hanya Allah yang menentukan segala sesuatu mengikut kemahuannya.   Doa merupakan salah satu usaha ikhtiar manusia. Dengan demikian bukanlah doa itu memberi bekas, tetapi Allah yang menentukan apa2 mengikut kemahuanNya!

3. Doa, usaha ikhtiar atau apa saja yang datang dari manusia TIDAK berkuasa untuk mengubah Taqdir. Didalam perkataan lain bukanlah Allah Ta'ala mengikut kehendak permintaan atau usaha hambaNya.  Jika demikian maka jadilah Allah bersifat lemah kerana Dia boleh digagahi....MAHA SUCI ALLAH DARIPADA DI GAGAHI OEH SESUATU.  SEBALIKNYA DIA YANG MAHA GAGAH DAN BERKUASA DI ATAS SEGALA SESUATU! 

4. Ketika Allah berkehendak menjadikan sesuatu kebaikan pada seseorang atau menolak keburukan darinya, maka  Allah Ta'ala mendatangkan atau mengilhamkan pelbagai asbab seperti doa dan usaha keatas seseorang yang sememangnya sudah ada didalam ketetapan Allah pada Azali.  

Ini bermakna sudah termaktub didalam ketetapan Azali bahawa orang tersebut akan berdoa atau berusaha kepada apa yang ditentukan oleh Allah pada Taqdir Azali. Bukanlah ketentuan itu berubah disebabkan permintaan atau harapan atau usaha manusia....TIDAK! 

Dengan demikian perkataan : "Doa dan usaha boleh mengubah Taqdir"  tanpa penjelasan yang sempurna adalah perkataan yang WAJIB dijauhi.  

5. Allah Ta'ala bersifat dengan sifat Maha Mengetahui, yakni mengetahui zahir dan batin, mengetahui segala sesuatu dari awal hingga akhir kesudahan alam maya ini. Bagaimana mungkin Allah Ta'ala tidak mengetahui bahawa hambaNya akan memohon kepadanya dan bagaimana mungkin Allah tidak mengetahui bahawa Dia akan memberikan sesuatu kepada hambaNya bersesuaian dengan permintaan hambaNya itu?  


Jika anda bersetuju bahawa Allah Maha mengetahui akan hal ini, maka bukanlah doa hamba itu yang mengubah taqdir Ilahi. Sebaliknya permintaan hambaNya dan kabulnya permintaan tersebut dan Pemberian Allah kepada hamba tersebut bersesuaian dengan Taqdir Azali.

6. Jika anda bertanya : "Bagaimana firman Allah : "Allah tidak mengubah nasib satu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya".    


Maksud ayat ini adalah :  Allah Ta'ala telah menentukan pada  Azali seseorang atau suatu kaum berubah kepada kebaikan berserta asbab2 yang terlihat pada pandangan mata.  Maka terlihatlah seolah2 mereka yang mengubah nasib mereka dengan usaha mereka. Padahal hakikatnya "perbuatan mereka berubah" telah pun ditetapkan pada Azali oleh Allah Ta'ala  


7. Jika anda bertanya lagi : "Bagaimana hadis Nabi :  "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa."    


Pengertian hadis ini  : "Iaitu apabila Allah menerima dan maqbulkan permintaan seseorang, bukanlah maqbulnya doa tersebut disebabkan doanya dan bukan juga bererti Allah telah mengubah TaqdirNya yang azali disebabkan doa tersebut. Tetapi perubahan Taqdir itu pun telah di tentukan oleh Allah ke atas hamba tersebut.  Hanya sanya terlihat pada zahir pandangan, Allah mengubah nasib/ketentuan/qadha yang ada pada seseorang disebabkan doanya.  Pada hakikanya semua itu adalah Taqdir Azali.


8. Kita melihat beberapa contoh dalam kehidupan manusia:


Contoh 1 :  
Menurut hadis Nabi yang sahih jodoh seseorang telah ditetapkan dari Azali lagi.  Jika si Hassan yang lahir di Malaysia di taqdirkan berkahwin dengan pasangannya yang lahir di Rusia, maka akan berlaku jalan2 untuk mereka bertemu dan berkahwin.  Walaupun mungkin sekali Hassan ingin berkahwin dengan wanita Hindustan yang cantik dan berdoa siang malam untuk mendapatkan cita2nya, tetapi jodohnya ada di Rusia. Maka akan berlaku berbagai jalan seperti dia berhijrah ke Rusia atau jalan2 lain sehingga mereka bertemu jodoh!  


 Contoh 2:
Umur setiap seorang manusia yang lahir telah tertulis pada Azali.  Jika hamba Allah bernama Zulkarnain di taqdirkan menmui ajalnya ketika usianya 50 tahun di sebuah Masjid pada tanggal 1 Januari 2011, jam 00:00 , dia pasti akan menemui ajalnya tepat pada waktunya tidak terdahulu sesaat dan terkemudian sesaat walaupun mungkin sekali dia orang alim yang banyak kebajikan dia. Walaupun dia sering berdoa panjang umur.    


Maksud hadis Nabi tentang panjang umur dengan melakukan kebajikan bermaksud, "Allah Ta'ala mentaqdirkan seseorang beramal kebajikan yang banyak sehingga dia menemui ajalnya menurut ketetapan Allah pada Azali juga."   Bukan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umum bahawa dia berjaya panjangkan umurnya dengan doa dan kebajikan.   Fahaman ini berlawanan dengan sifat Allah Yang Maha Suci yang bersifat dengan Maha Mngetahui, Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak!   





9. Sebagai i'tibar dan renungan :  Jika benar lah doa seseorang berkuasa mengubah taqdir nya, memanjangkan umur dengan kebajikan, maka orang yang paling layak mendapat kelebihan tersebut adalah Nabi kita Muhammad  صلى الله عليه وسلم  kerana Baginda adalah orang yang paling maqbul doanya dan paling banyak kebajikannya atas muka bumi. Tetapi mengapa umur Baginda hanya sampai 63 tahun?   Renung-renungkanlah! 




Berikut adalah beberapa keterangan Ayat2 Allah, Hadis Nabi dan kata Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang terkemuka!


Keterangan 1 :

Firman Allah Ta’ala :
 إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : 3 ]

Keterangan ke 2:

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : 
كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
Maksudnya: “Allah Ta'ala  telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

Keterangan ke 3:
 وَإِذَآ أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ


"......apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.   (Ar-Ra'd   13: 11)


Keterangan ke 4
Tiada makhluk berkongi kuasa didalam apa jua yang Allah Ta'ala jadikan, apa saja yang Dia perbuat kerana KalimatNya ketika menjadikan sesuatu adalah seperti KalamNya yang Agung....

 بَدِيعُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَإِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka dia hanya berfirman kepadanya: jadilah engkau! Lalu menjadilah ia.  (Al-Baqarah 2:117) 

Keterangan ke 5 : 




Dari Imran bin Husain Radhiyallahu’anhu, ia berkata:
Rasulullah   صلى الله عليه وسلم . ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui orang yang akan menjadi penghuni syurga dan orang yang akan menjadi penghuni neraka? Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. menjawab: Ya. Kemudian Baginda ditanya lagi: Jadi untuk apa orang-orang harus beramal? Rasulullah  صلى الله عليه وسلم   menjawab: Setiap orang akan dimudahkan untuk melakukan apa yang telah menjadi taqdirnya. (Shahih Muslim )



Keterangan ke 6:
Berkata Shaikh Ibnu Atho'Illah didalam Kitab Hikam :  " Maha Besar hukum Azali itu, dia tidak bersandar pada berbagai sebab"   


Syarahnya :   Sesuatu yang  ditetapkan pada zaman Azali tidaklah memerlukan berbagai sebab contohnya seperti sebuah permohonan anda, permohonan anda bukan sebagai sebab adanya pemberian Allah Ta'ala.

Keterangan ke 7:
Berkata Shaikh Ibnu Atha'Illah didalam Hikamnya :   " Bagaimana mungkin terjadi permohonan anda yang terwujud pada waktu berikutnya adalah menjadi sebab adanya pemberian Allah yang terwujud lebih dahulu?"

Syarah :  Bagaimana mungkin pemintaan doa anda menjadi sebab Allah menentukan sesuatu pada anda padahal ketentuan Allah telah pun ditetapkan oleh Allah pada Azali?

Keterangan ke 8
Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh berkata : 
" Apabila Allah mengabulkan apa yang diminta hambaNya, dan mengabulkan permintaannya, maka IradahNya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan  kehendak Tuhan pada waktunya.  Sehingga sesuai itu menghasilkan pengabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukanNya., untuk menyampaikan taqdir itu pada waktunya.  Seperti yang diakatakan Ahlul Ilmi mengenai Firman Allah : :Setiap  waktu Dia didalam kesibukan "(QS 55: 29) iaitu mengiring taqdir sampai waktunya.

Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya.  Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelekan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya. 

Adapun apa yang diriwayatkan didalam hadis Nabi, "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa." (Tirmizi)   adalah dikatakan yang dimaksud dengan hadis ini :   "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada Taqdir Azali) dapat menolak qadha."   [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah didalam Taqdir Azali,  bukanlah sebab doa seseorang itu - pent]

Begitu juga seseorang tidak akan masuk syurga diakhirat nanti dengan amalnya, tetapi dengan Rahmat Allah.  Namun Allah memberikan darjat kepada hambaNya di syurga berdasarkan amal perbuatan mereka. 

Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak ditunut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskan-Nya menunaikan janjiNya, akan tetapi Dia melakukan apa yang dikehendakiNya, menyiksa, mengampuni, memberikan Ni'mat, menyayangi siapa pun di KehendakiNya.  Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjwab atas apa yang diperbuatNya, tetapi manusia di minta dan di soal akan pertangungjawabannya. Dia memberi rezeki tanpa batas dengan RahmatNya dan menolak siapa pun yang diKehendakiNya. [Tiada siapa pun layak menyoal perbuatan Allah ini - pent]

Bagaimana tidak demikian, sementara makhluk. langit dan bumi dari Arsy yang tinggi hingg tanah yang rendah, Dia yang Memiliki dan MenciptakanNya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha perkasa lagi Maha Mulia.
(tamat petikan syarahan Imam Jailani Radhiallahu Anh) 

RUMUSAN PENTING :



1. Doa adalah lambang pengabdian diri dan perhambaan manusia di hadapan Allah! Doa adalah senjata Mu'min! . Doa adalah Ibadah!    Maka jadikan lah doa sebagaimana perintah Allah dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.  


2. Allah Ta'ala memerintahkan hamba2Nya supaya berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai jalan keselamatan dunia akhirat.  Maka berusaha sungguh2 atas jalan kebenaran serta menyerahkan diri kepada Allah adalah tuntutan atas setiap Muslim.


3. Segala perbincangan diatas adalah bertujuan memberikan kefahaman yang benar berkenaan adab dan i'tiqad seseorang ketika berdoa dan sesudah berhasil doanya.  Dia perlu membetulkan i'tiqad serta menginsafi ketika berdoa dan sesudah berdoa ; samada maqbul doanya atau di tolak doanya atau di tangguh doanya semua ini adalah didalam genggaman Allah.  


4. Jika telah maqbul doanya bukan bererti doanya berkuasa untuk mengubah sesuatu Taqdir pada dirinya ; samada memberi manfaat atau menolak mudarat. Sebaliknya semua itu semata-mata Kurnia Allah Yang Maha Pemurah yang telah pun tertulis di Luh Mahfuz!


5. Kita sama2 perlu insafi perbicangan ini bukan bermaksud untuk melemahkan seseorang daripada berdoa. Sebaliknya seseorang semestinya lebih kuat lagi berdoa selepas ini kerana dia mengetahui bahawa Allah sedang memberikan kebaikan kepada dirinya untuk berdoa dan benar2 berharap bahawa Allah akan maqbulkan doa nya. 



Semoga kita semua termasuk golongan yang selamat,  Ahlus-Sunnah Wal Jamaah yang dijamin oleh Nabi sebagai golongan yang selamat.


Wallahu A'lam


Rujukan utama :
1. Fathur-Rabbani Wa Faidhur-Rahmaniy
1. Adab As-Suluk wa-at-Tawassul Ila Manzilal Muluk
2. Al-Hikam Ibnu Atho'illah
3. Ihya Ulumuddin
4. Tafsir Ibnu Kathir

9 comments:

  1. Assalamualaikum,..

    saya ad membaca petikan di sebuah laman web ni.....

    http://www.kikil.org/forum/thread-27008.html........dia menulis seperti di bawah...saya mohon jasa baik admin untuk menjawab persoalan ni...terima kasih


    Dalam sebuah hadits Nabi shollallahu 'alaih wa sallam menjelaskan bahwa taqdir yang Allah ta'aala telah tentukan bisa berubah. Dan faktor yang dapat mengubah taqdir ialah doa seseorang.



    Bersabda Rasulullah shollallahu 'alaih wa sallam: "Tidak ada yang dapat menolak taqdir (ketentuan) Allah Ta'ala selain do'a. Dan Tidak ada yang dapat menambah (memperpanjang) umur seseorang selain (perbuatan) baik.." (HRTirmidzi 2065)



    Subhanallah! Betapa luar biasa kedudukan do'a dalam ajaran Islam. Dengan do'a seseorang bisa berharap bahwa taqdir yang Allah ta'aala tentukan atas dirinya berubah. Hal ini merupakan sebuah berita gembira bagi siapapun yang selama ini merasa hidupnya hanya diwarnai penderitaan dari waktu ke waktu. Iaakan menjadi orang yang optimis. Sebab keadaan hidupnya yang selama ini dirasakan hanya berisi kesengsaraan dapat berakhir dan berubah. Asal ia tidak berputus asa dari rahmat Allah Ta'ala dan ia mahu bersungguh-sungguh meminta dengan do'a yang tulus kepada Allah ta'aala Yang Maha Berkuasa. "Katakanlah: "Hai hamba-hamba- Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Ta'ala mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserahdirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)." (QS Az-Zumar 53-54)

    ReplyDelete
  2. Demikianlah, hanya orang yang tetap berharap kepada Allah Ta'ala saja yang dapat bertahan menjalani kehidupan di dunia betapapun pahitnya taqdir yang ia jalani. Ia akan senantiasa menanamkan dalam dirinya bahwa jika ia memohon kepada Allah Ta'ala dalam keadaan apapun, maka derita dan kesulitan yang ia hadapi sangat mungkin berakhir dan bahkan berubah. Sebaliknya, orang yang tidak pernah kenal Allah ta'aala dengan sendirinya akan meninggalkan kebiasaan berdo'a dan memohon kepada Allah Ta'ala. Ia akan terjatuh pada salah satu dari dua bentuk ekstrimitas. Pertama, ia akan mudah berputus asa. Atau kedua, ia akan lari kepada fihak lain untuk menjadi sandarannya demi merubah keadaan. Padahal begitu ia bersandar kepada sesuatu selain Allah Ta'ala, termasuk bersandar kepada dirinya sendiri, maka pada saat itu pulalah Allah Ta'ala akan mengabaikan orang itu dan membiarkannya berjalan mengikuti situasi dan kondisi yang tersedia. Sedangkan orang tersebut dinilai sebagai seorang yang mempersekutukan Allah Ta'ala dengan yang lain. Berarti orang tersebut telah jatuh ke dalam kategori seorang musyrik...!



    "Dan Tuhanmu berfirman, "Berdo`alah kepada-Ku, niscaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina." (QSAl-Mu'min 60) Dan yang tidak kalah pentingnya bahwa seorang muslim tidak boleh pernah berhenti meminta kepadaNya, karena sikap demikian merupakan suatu kesombongan yang akan menjebloskannya ke dalam siksa Allah Ta'ala yang pedih.



    Maka Rasulullah shollallahu 'alaih wa sallam bersabda: "Barangsiapa tidak berdo'a kepada Allah Ta'ala, maka Allah Ta'ala murka kepadaNya." (HR Ahmad 9342)



    Saudaraku, janganlah berputus asa dari rahmat Allah Ta'ala. Bila anda merasa taqdir yang Allah Ta'ala tentukan bagi hidup anda tidak memuaskan, maka tengadahkanlah kedua tangan dan berdo'alah kepada Allah Ta'ala. Allah Ta'ala Maha Mendengar dan Maha Berkuasa untuk mengubah taqdir anda. Barangkali di antara do'a yang baik untuk diajukan sebagai bentuk harapan agar Allah Ta'ala mengubah taqdir ialah sebagai berikut: "Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang mana ia merupakan penjaga perkaraku. Perbaikilah duniaku yang di dalamnya terdapat kehidupanku. Perbaikilah akhiratku untukku yang di dalamnya terdapat tempat kembaliku. Jadikanlah hidupku sebagai tambahan untukku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah matiku sebagai istirahat untukku dari segala keburukan." (HR Muslim4897)

    ReplyDelete
  3. Bismillahir-Rahmanir-Raheem

    Syukran sdr Muhammad, semoga Allah memberikan Taufiq dan HidayahNya kepada kita semua kepada jalan kebenaran dan kemuliaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم….!

    Persoalan Taqdir, Qadha dan Qadar memang suatu perkara yang sangat sulit di fahami lebih-lebih lagi menjadikannya I’tiqad yang jazam didalam jiwa kita. Begitu sukarnya sehingga bukan sahaja orang awam tidak memahami tetapi juga golongan Ilmuan dan terpelajar. Sebagai contoh Golongan Mu’tazilah yang telah menyimpang dari jalan sebebenar bukanlah orang2 biasa. Pemimpian yang mengasaaskan fahaman Mu’tazilah adalah seorang Ilmuan Islam yang banyak ilmunya, bukan orang jahil.

    Dengan demikian sama2 kita merayu dan memohon petunjuk Allah!

    Kekelruan faham
    Terdapat beberapa kekeliruan didalam artikel di atas:

    Pertama :
    Merujuk kepada tulisan di laman web yang tersebut di atas, terdapat salah faham pada mengi’tiqadkan doa dan taqdir. Dan menentukan pegangan sebenar tentang kedudukan doa.
    Pada perenggan awal penulis menyatakan bahawa “taqdir yang Allah tentukan boleh berubah dengan doa…” begini….

    Betapa luar biasa kedudukan do'a dalam ajaran Islam. Dengan do'a seseorang bisa berharap bahwa taqdir yang Allah ta'aala tentukan atas dirinya berubah

    Tetapi pada perenggan kemudian beliau nyatakan bahawa perlu mengharapkan Rahmat Allah…..ini perkataannya

    "...Asal ia tidak berputus asa dari rahmat Allah Ta'ala dan ia mahu bersungguh-sungguh meminta dengan do'a yang tulus kepada Allah ta'aala Yang Maha Berkuasa."

    Jadi nampaknya penulis agak teragak2 didalam menyatakan pendirian beliau samada doa yang menentukan Taqdirnya berubah atau Rahmat Allah yang menjadikannya berubah! Kemungkinan juga penulis tidak dapat menjangkau kepada melihat perbezaan “haqiqat” dan “syariat” kerana menjadi kesamaran didalam memahaminya dan menjadikan pegangan !

    Kedua :
    Cara memahami Hadis Nabi : "Tidak ada yang dapat menolak taqdir (ketentuan) Allah Ta'ala selain do'a. Dan Tidak ada yang dapat menambah (memperpanjang) umur seseorang selain (perbuatan) baik.."

    Mafhum Hadis Nabi ini sebagaimana kita huraikan sebelum ini berdasarkan keterangan Ulama2 Ahlus Sunnah adalah : “Doa yang dikatakan menolak Taqdir itu adalah “taqdir Allah dari kehendak Allah jua” bukanlah bermakna doa seseorang itu berkuasa menolak Taqdir….tidak sama sekali.

    Kita bagi satu contoh : Seseorang yang ditaqdirkan miskin pada asalnya. Kemudian dia berdoa sungguh2 sehingga Taqdir dia berubah menjadi baik. Iaitu dia dapat menjadi kaya raya.

    Boleh kah kita katakan dia menjadi kaya kerana doanya telah menolak taqdir Allah yang asalnya miskin? Bolehkah kita katakan Allah terpaksa mengubah taqdir manusia kerana doa tersebut? Doa itu dari makhluk, sedangkan Taqdir itu dari Allah. Bolehkah kita i’tiqadkan makhluk berkuasa di atas Khaliq, PenciptaNya sehingga terpaksa mengikut permintaan makhluknya?

    Di sinilah persoalan yang perlu dihalusi dan sangat berhati2 supaya tidak tergelincir dari Tauhid!!!

    Penjelasan yang wajar adalah : Orang yang berdoa agar kemiskinan dia di hilangkan daripadanya sudah pun ditaqdirkan oleh Allah. Dan sudah ada keteapan AzaliNya bahawa Dia akan mengabulkan doanya apabila sampai masanya. Maka kelihatanlah pada pandangan zahir seolah2 doa mengubah taqdir si miskin itu. Padahal apa yang berlaku adalah ketentuan Allah ….TaqdirNya yang Azali…!

    ReplyDelete
  4. sambungan....

    Kedudukan doa

    Perlu difahami dengan jelas sememangnya doa merupakan lambang pengabdian hamba pada Tuhan. Doa juga merupakan perintah Allah keatas hamba2Nya. Sesiapa yang tidak berdoa memohon Allah, dia teramsuk orang yang sombong. Dan banyak lagi Firman Allah dan Hadis Nabi menjelaskan demikian, tentang kedudukan dan kelebihannya.

    Persoalan sebenar – adab dan I’tiqad!

    Masalah sebenar di sini adalah salah faham didalam i’tiqad. Perbincangan kita berkisar pada bagaimana sikap, adab dan i’tiqad seseorang ketika berdoa dan sesudah terhasil doanya atau sesudah terhasil usaha ikhtiarnya.

    Kita di ajar bagaimana sepatutnya adab seseorang ketika berdoa. Bagaimana I’tiqadnya ketika berdoa. Di antaranya ialah ; Seseorang itu hendaklah menggantungkan harapan penuh kepada Allah Ta’ala ketika berdoa, bukan bersandar kepada doanya atau amalnya. Seseorang wajib melihat dan mengakui bahawa Allah Ta’ala Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia …dan Cuma Dia yang dapat memberikan manfaat dan hanya Dia yang dapat menolakkan mudarat daripadanya (bukan doanya dan bukan usaha amalnya. ) Tidak ada satu makhluk pun dapat memberikan kebaikan walau seteguk air jika bukan dengan izin Allah. Walaupun seluruh makhluk berusaha menyelamatkannya, dia tidak akan selamat jika bukan dengan kehendak Allah didialam TaqdirNya.

    Jika demikian bagaimana seseorang boleh mendakwa doanya boleh menolak taqdir?

    Doa termasuk jumlah usaha ikhtiar hamba. Menurut fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Allah Ta’ala memberikan manusia usaha ikhtiar, tetapi usaha ikhtiar manusia tidak memberi bekas. Tetapi Allah Ta’ala yang menentukan segala sesuatu. Dengan demikian bukanlah doa seseorang member bekas untuk menolak taqdir. Tetapi Allah Ta’ala mentaqdirkan keduanya iaitu doa seseorang bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala berlaku pada nya.

    Jika benarlah dakwaan “doa boleh mengubah taqdir” dan “kebajikan memanjangkan umur” mengikut fahaman mereka2 yang mendakwa nya, maka sudah tentu Nabi kita di panjangkan umur Baginda sampai beratus-ratus tahun kerana doa Nabi paling baik dan Nabi merupakan orang yang paling banyak buat kebajikan atas muka bumi. Siapa yang terlebih baik dari Nabi kita dari sudut apa pun. Tapi mengapa usia Baginda cuma 63 tahun?

    Kemudian kita lihat kisah hidup beberapa Nabi seperti Nabi Nuh. Baginda seorang Nabi yang di beri kemuliaan oleh Allah sehingga menjadi salah seorang Nabi Ulul Azmi. Kalau benar doa itu mempunyai kuasa menolak taqdir, mengapa Nabi Nuh tak dapat selamatkan anak Baginda sendiri sehingga anaknya mati kafir? Mengapa pula doa seorang Nabi tak dapat mengubah taqdir atas isteri nya yang juga menjadi kafir?

    Ini beberapa persoalan yang perlu di jadikan I’tibar bahawa bukanlah doa atau ikhtiar seseorang manusia memberikan bekas kepada kehidupan seseorang. Tidak juga berkuasa mengubah taqdir seseorang itu. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah , ketentuan Allah Ta’ala pada saat seseorang itu berdoa atau melakukan usaha ikhtiar. Dengan perkataan lain, berlakunya perubahan taqdir yang buruk kepada yang baik adalah didalam Tqdir Azali bertepatan dengan doa seseorang yang juga didalam Taqdir Ilahi. Bukan bermakna Allah Ta’ala terpaksa mengubah Taqdir disebabkan doanya!

    Semoga telah mendapat penjelasan yang sebaiknya!


    Wassalam

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah...telah mendapat penjelasan yang secukupnya..terima kasih yang tidak terhingga kerana sebelum ni ustaz bnyk yang mengajar sebaliknya..kali pertama saya mendengar tentang perkara ni..

    Saya mohon untuk sebarkan masalah taqdir ni kepada ustaz-ustaz saya yg dulu...Saya akan membuat rujukan kepada blog ni tentang masalah ni...saya mohon balas dan jasa baik tuan untuk membenarkannya..

    ReplyDelete
  6. Assalamu Alaikum wr wb

    Silakanlah salin dan sebarkan pada semua.

    Masalah sebenar adalah cara pemahaman dan penjelasan yang tidak cukup sehingga ramai yang terkeliru!

    Wassalam.

    ReplyDelete
  7. Maksudnya, taqdir yang ditentukan Allah sejak azali adalah tidak boleh diubah, melainkan dengan asbab Allah perlihatkan jalan untuk hambaNya berusaha untuk memperolehi kebaikan tersebut..atas izinNya.

    Masih keliru, apakah misalanya..seorang yang tidak terlintas dihati untuk berusaha mempunyai pasangan adalah sudah ketetapanNya sehingga sampai ketikanya.

    ReplyDelete
  8. Assalamu Alaikum wr wb

    Mudah-mudahan Allah Ta'ala melimpahakn cahayaNya sehingga terang benderang menyinari hati-hati kita!

    Didalam hadis Nabi sudah disebutkan bahawa bagi setiap insan yang lahir ke muka bumi sudah ditulis...umurnya, nasibnya, jodohnya, bahagia atau celakanya.!

    Apabila sampai jodonya seseorang, maka dia pasti akan berkahwin dengan siapa2 yang ditentukan oleh Allah Ta'ala jodohnya, walaupun seorang lahir di Masyriq dan pasangannya lahir di Maghrib. Walaupun seorang lahir di Malaysia sedang pasangannya di Jepun, pasti akan bertemu bagaimana cara sekalipun dengan jodohnya.

    Jika seorang wanita Melayu ditaqdirkan oleh Allah berkahwin dengan seorang Negro kulit hitam, dia pasti akan berkahwin dengan Negro kulit hitam yang ditentukan oleh Allah. Tiada yang dapat menukar ketentuan ini...!

    Jika belum terfikir/tergerak untuk berkahwin, bermakna belum sampai jodohnya untuk berkahwin.

    Sila rujuk untuk bacaan lanjut .... http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/09/taqdir-sudah-ditentukan-mengapa-perlu.html

    Jika masih keliru, boleh tanya lagi...!

    Wallahu A'lam

    ReplyDelete
  9. Nemu mutiara di blog ini..
    Izin share akhi..

    ReplyDelete

Allah Allah